KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay mengakui dia tidak mampu menyanyikan lagu bernada tinggi ekoran keterbatasan vokalnya.
Namun, Liyana, 37, tidak menjadikan hal tersebut sebagai kekangan untuk dia meneruskan minat dalam bidang seni suara malah akan terus produktif dengan menampilkan lagu baharu.
“Saya tahu sejauh mana kemampuan vokal saya. Sebab itu saya pilih untuk menyanyikan lagu-lagu yang lebih santai melodinya seperti Cinta Bersatu yang pernah saya rakamkan dulu.
“Menyanyi ini minat sambilan saya. Tapi untuk saya menyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, jauh sekali.
“Saya tidak akan sesekali paksa diri saya menyanyi ke tahap itu,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu, Terluka hasil ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso.
Liyana pada masa yang sama turut mengakui pengalaman yang dikumpul sejak beberapa tahun lalu telah menambah keyakinannya untuk menyanyi secara live.
“Mungkin dulu saya terlalu takut. Sebab itu menyanyi pun sumbang.
“Lama kelamaan saya kenal pasti kelemahan nyanyian saya dan selepas itu cari cara untuk atasinya. Saya sedar saya boleh menyanyi dengan baik sekiranya selesa di atas pentas.
“Sekarang saya bertambah yakin untuk menyanyi secara live atas pentas. Rasa takut itu masih ada, cuma tidaklah seteruk dahulu,” jelasnya. – UTUSAN