Ulasan The Summer I Turned Pretty: Semua berubah, kecuali cara aku mencintaimu - Utusan Malaysia

Ulasan The Summer I Turned Pretty: Semua berubah, kecuali cara aku mencintaimu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIMULAKAN dengan trend TikTok dan juga menonton temu ramah artis antarabangsa yang diakhiri dengan pertanyaan ‘team Conrad’ atau ‘team Jeremiah’, saya akhirnya ambil tahu dari mana asal punca pertanyaan ini.

Selepas akhirnya mengerti punca fenomena ini, siapakah Conrad dan Jeremiah, saya dengan rela hati memberikan dedikasi selama 11 minggu bersamaan 11 episod untuk menonton siri coming-of-age paling hit, The Summer I Turned Pretty (TSITP) musim terakhir.

Ada sesuatu berbeza menonton siri yang membuat kita harus menanti, menunggu, meneka episod akan datang berbanding menghabiskan semua ceritanya dalam sehari.

Dalam menonton TSITP contohnya, saya masih percaya teori 1920-an yang diperkenalkan ahli psikologi Bluma Zeigarnik bahawa kita akan cenderung untuk ingat kerja yang belum benar-benar selesai: seperti pesanan yang belum dibayar.

Dalam konteks ini, cliffhanger adalah teknik yang digunakan membuatkan kita seperti terikat, rasa ingin tahu dan teringat-ingat episod drama ini.

Sebab itu, kecanduan menonton siri secara berepisod lebih nikmat berbanding menonton sekali gus. Ketika menantikan episod baru, pelbagai perbincangan dan dapatan dikongsikan penonton di media sosial seperti pertanyaan tadi, ‘team Conrad atau team Jeremiah?’.

Naskhah coming-of-age yang baik harus berfungsi menunjukkan kepada kita krisis yang dialami anak muda dalam proses peralihan ke alam dewasa.

Apakah kejadian yang berlaku sehingga memberi kesan kepada perubahan emosi dan karakter mereka.

Berdasarkan reputasi All Boys I Loved Before, saya fikir, penulis skrip, Jenny Han ada formula cemerlang yang boleh mewakili suara-suara dalam gelombang krisis identiti, keluarga, persoalan mengenal cinta, pencarian identiti diri yang melanda orang muda.

Formula itu diguna Jenny Han ketika menghasilkan TSITP, ia sangat jiwa muda sekali. Tidak hanya cerita, malah monolog yang disampaikan setiap karakter membuatkan kita seolah-olah lebih erat dengan watak tersebut. Cuma saya sangat menantikan monolog Jeremiah

yang malangnya tiada. Juga potongan adegan dengan lagu-lagu yang sangat popular dengan anak muda Taylor Swift, Gracie Abrams, Phoebe Bridgers, Harry Styles dan lain-lain.

The Summer I Turned Pretty secara dasarkan adalah cerita tiga segi antara Belly, gadis remaja dengan dua beradik kacak iaitu Jeremiah dan Conrad.

Pergolakan serta bunga-bunga cinta selalu akan terbit setiap kali musim panas seperti judulnya.

Pada musim ketiga ini, konfliknya lebih tertumpu kepada rasa berontak dua anak muda buru-buru mahu berkahwin sedangkan mereka belum kenal siapa diri mereka. Juga hubungan antara anak dan ibu bapa yang tidak baik-baik sahaja.

Titik penting dalam siri ini ada pada episod kesembilan, Last Call ketika Belly akhirnya pergi melemparkan diri dalam kekeliruan, kegalauan dan kedingin diberikan Paris yang kata orang kononnya kota paling cantik di dunia.

Perubahan ini tidak hanya berlaku kepada Belly malah mengubah keseluruhan dinamik karakter dalam siri ini termasuk Jeremiah seorang chef paling hot memetik kata Taylor, juga Conrad yang selama ini seorang pendiam boleh ‘merebut’ Belly di hadapan pesaing terbaharu, Benito.

Juga sudah tentu Belly, Paris mengubahnya menjadi kental menjadikannya mengenal diri sendiri.

The Summer I Turned Pretty menunjukkan kepada penonton bahawa dalam fasa peralihan menjadi dewasa memang ia akan mengubah siapa kita baik dengan cara kita bertutur, bergaul, membuat keputusan atau kemahiran baharu yang tidak kita tahu sebelum ini.

Namun di sebalik perubahan itu, hanya ada satu yang kekal iaitu cara kita mencintai seseorang dan kita harap rasa itu membeku selamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN