PETALING JAYA: Tuntutan Sarawak supaya Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) menggantikan Petronas sebagai agregator gas tunggal negara berisiko menggoncang keseluruhan sistem tenaga Malaysia.
Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani berkata, peranan agregator amat berkuasa kerana ia membeli gas daripada pengeluar huluan sebelum menjual semula kepada pengguna hiliran sekali gus menentukan kuantiti untuk kegunaan domestik dan eksport dalam bentuk gas asli cecair (LNG).
Beliau berkata, sekiranya Petronas hilang keupayaan menyelia keseluruhan rantaian bekalan, kelangsungan sektor minyak dan gas negara boleh terjejas.
“Jika kuasa ini dipindahkan kepada Petros, ia memberi ruang kepada syarikat itu membeli gas lebih murah di huluan dan menjualnya semula dengan harga lebih tinggi.
“Keadaan ini boleh menyebabkan Petronas menanggung kerugian besar, khususnya apabila terikat dengan kontrak eksport jangka panjang pada harga tetap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Logik Sarawak
Jamil berkata, kira-kira 60 peratus gas negara ditemukan di perairan berhampiran Sarawak, namun hanya enam peratus disalurkan untuk kegunaan negeri itu, manakala selebihnya dieksport.
“Atas sebab itu, pemimpin Sarawak melihat keperluan mengambil alih pengagregator agar cita-cita pembangunan negeri tidak lagi terbatas,” katanya.
Bagi menyokong aspirasi tersebut, Putrajaya dan Petronas sebelum ini bersetuju menyalurkan 1.2 bilion kaki padu gas sehari untuk kegunaan Sarawak iaitu hampir tiga kali ganda berbanding 450 juta kaki padu sebelumnya.
“Peruntukan ini cukup besar untuk menyokong pembangunan, namun perlu ada kepastian permintaan industri di Sarawak.
“Jika gas dialihkan untuk kegunaan domestik tanpa kontrak jelas, ia boleh menimbulkan kerugian apabila bekalan terbiar atau eksport terganggu,” jelasnya.
Menuju Kompromi
Bagi mengimbangi aspirasi negeri dan kepentingan negara, Jamil turut mencadangkan model perkongsian pengagregator.
“Petros boleh diberi peranan sebagai agregator domestik, manakala Petronas kekal menguruskan eksport ke pasaran utama seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China,” katanya.
Beliau berkata, isu ini hakikatnya berkisar antara tuntutan autonomi Sarawak dan tanggungjawab fiskal negara.
“Dengan kerangka undang-undang yang jelas serta jaminan kelestarian rantaian bekalan, kebuntuan ini boleh ditukar menjadi peluang. Aspirasi negeri boleh dipenuhi tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Baru-baru ini, Penasihat undang-undang Sarawak, Datuk Seri JC Fong mahu Petronas menghormati undang-undang Sarawak dan mengiktiraf Petros sebagai agregator gas tunggal di bawah Ordinan Agihan Gas (DGO) negeri, yang telah dipinda pada 2023.
Fong dalam satu portal berkata, Sarawak hanya menerima kira-kira RM49 bilion bayaran tunai daripada Petronas antara 1975 hingga 2024 di bawah perjanjian royalti petroleum antara kedua-dua pihak.
Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menandatangani deklarasi bersama dalam usaha memartabatkan industri minyak dan gas negara.
Dalam perbincangan tersebut, telah membawa kepada pelantikan Petros sebagai agregator gas di negeri itu.
Dalam masa yang sama, kedua-dua kerajaan menyatakan mereka akan terus mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum sebagai satu Akta Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam peruntukan undang-undang” dan memberi jaminan bahawa kontrak eksport sedia ada tidak akan terjejas. – UTUSAN