PASIR PUTEH: Tukang karut hebat, Tuan Kob Raja Saring atau Tuan Yacob Tuan Ismail sempat membuat persembahan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 kelmarin sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Anak sulungnya Tuan Suharmila berkata, ayahnya berusia 69 tahun meninggal dunia pada pukul 6 pagi di rumahnya di Kampung Pintu Pupoh di sini semalam selepas mengalami sesak nafas.
Katanya, sebelum itu arwah ayah batuk pada pukul 4 pagi dan mengalami sesak nafas sejam kemudian.
“Kira-kira pukul 5.15 pagi, arwah ayah rebah semasa sedang bersiap-siap untuk ke hospital dan terus tidak sedarkan diri.
“Pada pukul 6 pagi, pegawai perubatan yang datang ke rumah dan mengesahkan ayah sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tuan Suharmila memberitahu, jenazah arwah ayahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Merbuk selepas solat zohor.
Katanya, sebelum meninggal dunia arwah ayah sempat membuat persembahan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 kelmarin. – UTUSAN










