Tuan Ibrahim, Rafizi setuju selesai saman sivil luar mahkamah

Tuan Ibrahim, Rafizi setuju selesai saman sivil luar mahkamah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersetuju menarik balik saman sivil yang dibuatnya terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu penganugerahan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang difailnya pada November 2022.

Keputusan itu diambil Tuan Ibrahim selepas Rafizi bersetuju menurunkan semua hantaran di media sosial miliknya berhubung isu berkenaan.

Tuan Ibrahim dan Rafizi dalam satu kenyataan bersama berkata, saman sivil difailkan itu adalah berkaitan kenyataan media dibuat bekas Menteri Ekonomi terbabit yang membangkitkan beberapa persoalan mengenai fungsi dan peranan seorang Menteri dalam tempoh kerajaan ‘caretaker’ selepas Parlimen dibubar.

Katanya, antara persoalan dibangkitkan adalah terdapat usaha penganugerahan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd. ketika kerajaan ‘caretaker’ oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) semasa Tuan Ibrahim sebagai Menteri.

“Rafizi telah memajukan persoalan tersebut melalui kenyataan medianya terdahulu berdasarkan kepada maklumat dan dokumen diperolehnya daripada sumber yang dipercayai.

“Untuk mengelakkan dari perkara ini berpanjanan atau persoalan yang ditimbulkan oleh Rafizi disalah ertikan oleh orang awam atau menimbulkan salah faham terhadap Tuan Ibrahim, Rafizi dengan ini bersetuju menurunkan semua posting (hantaran) di media sosial di bawah kawalannya bersabit perkara ini,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan isu berkaitan keterlibatan Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan projek itu bukanlah sebenarnya tumpuan kenyataan dikeluarkan oleh Rafizi sebelum ini.

Justeru, katanya, keterlibatan Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan projek itu tidak lagi berbangkit di antara semua pihak.

“Di atas semangat penyelesaian secara berhemah, Tuan Ibrahim dan Rafizi secara bersama bersependapat bahawa sebarang perselisihan atau salah faham yang berlaku antara
pihak-pihak di dalam tindakan saman ini wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik dalam negara.

“Oleh yang demikian, pihak-pihak dengan ini ingin memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan secara baik di luar mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN