IPOH: Cadangan menukar ruang pejabat kosong kepada kediaman disifatkan sebagai langkah baik untuk menghidupkan semula bangunan lama di bandar raya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, transformasi itu mampu memberi nilai tambah kepada bandar raya dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menghidupkan kembali suasana perbandaran.
“Sekiranya menjalani transformasi menjadi bangunan residensi, ia akan bantu kita bawa penduduk tinggal dalam kota dan mereka boleh berjalan kaki ke tempat kerja.
“Malah, bangunan lama juga tidak lagi menjadi imej buruk kepada bandar raya. Bagaimanapun, syarat keselamatan perlu diberi keutamaan khususnya di bawah Akta Bomba.
“Kita perlu pastikan apabila ruang pejabat ditukar kepada kediaman, premis itu perlu mematuhi syarat-syarat kebombaan kerana tiada kompromi dalam aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai Kuala Lumpur berdepan krisis serius apabila terdapat lebih 30 juta kaki persegi (kps) ruang pejabat tidak berpenghuni yang semakin usang dan perlu diberi perhatian.
Kadar kekosongan hampir 20 peratus ruang pejabat itu menjejaskan kedudukan ibu negara sebagai nadi ekonomi dan sosial apabila semakin banyak blok pejabat lama dibiarkan usang tanpa penyewa.
Sehubungan itu, Research for Social Advancement (REFSA) mencadangkan dasar penukaran pejabat lama kepada kediaman (office-to-residential conversion) dilaksanakan bagi menghidupkan semula pusat bandar, dengan sasaran utama belia, pasangan muda dan pekerja bandar yang memerlukan rumah berhampiran tempat kerja.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, cadangan yang dilihat positif itu bagaimanapun memerlukan kerangka undang-undang baharu melalui penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menurut beliau, sebarang inisiatif menukar fungsi bangunan perlu berpandukan peraturan jelas bagi memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
Malah katanya, sebarang usaha kerajaan untuk membantu pemilik atau pemaju adalah sukar kerana undang-undang sedia ada hanya terikat kepada Akta Pengambilan Tanah.
“Sekiranya akta PSB diluluskan, kerajaan boleh menggubal peraturan bagi memberi insentif kepada pihak yang berusaha menghidupkan semula bangunan usang atau daif.
“Di Ipoh contohnya, kita ada Waller Court yang pernah digelar rumah pangsa paling panjang di Asia Tenggara. Semua boleh lihat keadaannya hari ini. Kita memang mahu bantu tapi sangat sukar tanpa mekanisme undang-undang yang jelas.
“Sebab itu kita perlukan satu kerangka dan jawatankuasa khas untuk mencari formula menang-menang demi membantu rakyat yang hidup dalam keadaan terdesak,” katanya. – UTUSAN