Tokoh Perdana Maulidur Rasul sifatkan anugerah cerminan sumbangan TH

Tokoh Perdana Maulidur Rasul sifatkan anugerah cerminan sumbangan TH

ABDUL RASHID HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain menyifatkan agensi tersebut berperanan besar di sebalik pemilihannya sebagai Tokoh Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M.

Menurut beliau, pengiktirafan itu merupakan mencerminkan terhadap sumbangan signifikan Tabung Haji dalam pembangunan umat Islam di negara ini.

“Saya sendiri tidak menyangka akan menerima anugerah ini. Apa yang pasti, sumbangan daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) antara faktor yang diambil kiri dan saya harus mengakui bahawa Tabung Haji memainkan peranan yang amat besar,” katanya.

Sementara itu, pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming pula menerima anugerah bagi kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya, manakala pelakon, Angeline Tan bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).

Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada majlis tersebut yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wau Animation Sdn Bhd, Muhammad Usamah Zaid Yasin menerima anugerah bagi kategori Pengkarya/Inovator Kreatif.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan merangkap Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang menerima anugerah bagi kategori Agamawan/Kepimpinan Dakwah.

Penerima lain, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Ismail Abdul Ghani bagi kategori Wira Negara dan Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Sarawak, Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak bagi kategori Belia Harapan.

Penerima Anugerah Perdana menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima Anugerah Maulidur Rasul menerima wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penghargaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×