Tinggikan suara terhadap Ketua Polis Perak, kerani IPD Ipoh didenda RM500 - Utusan Malaysia

Tinggikan suara terhadap Ketua Polis Perak, kerani IPD Ipoh didenda RM500

NOOR HISAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kakitangan awam didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan meninggikan suara terhadap Ketua Polis Perak, Mei lalu.

Tertuduh, Abang Fikri Abang Mohd. Tawfik, 37, juga berdepan hukuman penjara tujuh hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut dijatuhkan terhadap lelaki yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam pejabat Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 1.30 petang, 26 Mei 2025.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G. Harbhajan Singh.

Mengikut fakta kes, pada pukul 1.30 tengah hari pada 26 Mei lalu, tertuduh telah datang ke IPK Perak untuk berjumpa dengan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin bagi mengetahui status kertas siasatan tatatertib yang dibuka terhadapnya pada tahun 2017.

Tertuduh yang bertugas sebagai kerani itu kemudian melulu masuk ke Pejabat Ketua Polis Perak dan mengamuk sebelum bertindak meninggikan suara kepada beliau.

Laporan polis dibuat terhadap lelaki itu dengan tangkapan dijalankan pada pukul 3 petang hari yang sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN