PETALING JAYA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki warga India kerana menyeludup minuman keras tanpa cukai bernilai RM578,250.
Suspek ditahan dalam Op Taring oleh Unit Risikan Marin (URM) Pelabuhan Klang Selangor bersama Unit Selam Gempur Marin (Ungerin), pukul 3 petang semalam.
Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas telah terserempak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dan mengekorinya hingga ke sebuah kawasan di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Kuala Langat.
Katanya, anggota bertugas kemudian menyerbu dan menahan tiga lelaki warga India berusia 22 hingga 40 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Toyota Avanza terdapat minuman keras.
“Rentetan itu, pemeriksaan kedua ke atas sebuah lori juga terdapat minuman keras diseludup selain pelbagai jenis minuman keras disimpan di dalam sebuah premis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua minuman keras berkenaan dirampas kerana disyaki tidak bercukai dan kesemua rampasan serta tangkapan dibawa ke PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut
“Minuman keras termasuk nilai cukai dirampas dianggarkan berjumlah RM393,250, selain sebuah lori lima tan bernilai RM150,000 dan kereta Toyota Avanza RM35,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/64,” katanya. – UTUSAN







