Tiada pertandingan lima jawatan tertinggi Pas

Tiada pertandingan lima jawatan tertinggi Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selain lima jawatan tertinggi, kepemimpinan tertinggi sayap-sayap Pas juga menyaksikan tidak berlaku pertandingan di dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan di Kedah bermula 11 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud berkata, pengesahan tersebut dibuat selepas semua jawapan tawaran pencalonan diterima dan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada Selasa lalu.

Katanya, Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan tiga Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengekalkan jawatan tertinggi itu.

Menurut beliau, pertandingan sengit hanya melibatkan jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat membabitkan 30 calon yang bertanding bagi menempatkan diri dalam kalangan 18 yang akan dipilih.

Antara calon bertanding bagi jawatan berkenaan ialah tiga Menteri Besar Pas iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Mohd. Shukri Ramli.

Dalam pada itu, sayap Pemuda dan Muslimat hanya menyaksikan pertandingan Ahli Jawatankuasa.

Bagi Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menang tanpa bertanding Ketua Pemuda setelah seorang lagi calon iaitu Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menolak pencalonan.

Dewan Muslimat pula menyaksikan jawatan Ketua, Nuridah Salleh; Timbalan, Rosni Adam dan Naib, Salamiah Mohd Noor kekal dengan kesemua mereka menang tanpa bertanding.

Dewan Ulama pula menyaksikan jawatan tertinggi sehingga barisan Ahli Jawatankuasa sayap berkenaan tidak berlaku pertandingan.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya merangkap Pesuruhjaya Pas Kedah menang tanpa bertanding apabila calon menjadi pencabarnya turut menolak pencalonan. Zulkifli Ismail kekal sebagai Timbalan dan jawatan Naib Ketua pula masih disandang, Khirul Muntanazar Ismail.

Dalam pada itu, lebih 4,200 perwakilan dari seluruh negara dijangka hadir sempena Muktamar Tahunan Pas di Kedah dari 11 sehingga 16 September bagi menentukan hala tuju parti bagi penggal 2025-2027.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN