KUALA LUMPUR: Majlis anugerah, The Knights Award (TKA) yang memasuki musim keempat penganjurannya tahun ini buat julung kali dianjurkan bersama Commonwealth Youth Innovation Hub (CYIH) yang mewakili 56 negara anggota Komanwel.
Majlis penganugerahan berprestij itu berlangsung Oktober ini di Dewan Filharmonik, Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Presiden TKA, Dr. Zyro Wong berkata, kerjasama dengan CYIH membuktikan aspirasi pihaknya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab global keusahawanan, budaya dan pembangunan lestari.
“Tahun ini menandakan satu pencapaian penting apabila The Knights Award Season 4 dianjurkan bersama dengan CYIH.
“Kerjasama ini mengukuhkan lagi misi kami untuk memposisikan Malaysia sebagai hab global keusahawanan, budaya dan pembangunan lestari di samping mewujudkan peluang bermakna untuk kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Sejak diperkenalkan tiga musim lalu, TKA meraikan lebih 150 tokoh dan organisasi dari pelbagai bidang, sekali gus mewujudkan platform elit bagi pengiktirafan antarabangsa.
Musim kali ini bakal menampilkan kehadiran delegasi antarabangsa termasuk pemenang dua kali Anugerah Grammy, Peabo Bryson dari Amerika Syarikat dan pelakon Hong Kong, Wayne Lai serta kemunculan penyanyi terkenal Kanada, Rozette.
Majlis sidang akhbar kelmarin turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara TKA dan JDX Tea, selain pengumuman rakan rasmi termasuk Astro sebagai rakan media, Millennium Autobeyond dan Branding Association Malaysia sebagai organisasi penyokong.
Jelas Zyro, proses pencalonan TKA musim keempat kini dibuka dengan pelbagai kategori baharu yang menekankan kecemerlangan, inovasi serta kelestarian.
“Jika musim terdahulu sebanyak 50 kategori dipertandingkan, tahun ini hanya 30 kategori disenaraikan sekali gus menjadikan anugerah ini lebih eksklusif dan kompetitif,” katanya.-UTUSAN