KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berunding dengan Arab Saudi bagi mendapatkan kuota tambahan haji untuk musim 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat ini kuota haji jemaah Malaysia masih kekal sebanyak 31,600 orang.
Beliau berkata, pihaknya melalui Tabung Haji (TH) telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah berhubung perkara itu.
“Kerajaan dalam usaha memohon kuota tambahan, namun buat masa ini jumlah masih kekal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1446H dan Penghargaan Sahabat Korporat 2025, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH akan meneruskan usaha menambah baik pengurusan haji dengan memperkenalkan beberapa penambahbaikan baharu bagi memberi lebih kemudahan serta keselesaan kepada jemaah haji akan datang.
“Dengan kerjasama erat semua agensi dan rakan-rakan strategik, saya percaya kecemerlangan ini akan diteruskan demi agama, negara dan ummah.
“In Sya-Allah pada musim haji 1447 Hijriah bersamaan 2026 Masihi, saya dimaklumkan antara penambahbaikan yang akan dikaji adalah serahan pasport digital bagi urusan permohonan visa haji.
“Di samping itu, Tabung Haji juga telah mengambil langkah melantik syarikat Penyedia Perkhidmatan Haji di Arab Saudi yang baharu demi memastikan jemaah haji mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan selesa berbanding sebelumnya,” katanya. – UTUSAN











