KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Nadhif Basalamah meluahkan rasa terharu atas sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia yang menunjukkan solidariti terhadap rakyat negaranya ketika melalui detik sukar.
Nadhif, 25, turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang mengambil inisiatif membuat pembelian makanan secara dalam talian untuk diagihkan kepada penghantar makanan di Indonesia.
“Saya terharu dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bersolidariti untuk Indonesia dengan membeli makanan daripada penghantar makanan di negara saya.
“Saya dan seluruh Indonesia sangat menghargainya. Usaha itu ibarat doa daripada kalian untuk kami,” katanya ketika Konsert Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur di The Exchange Hall, baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi asal Jakarta itu juga berbesar hati apabila lagu ciptaannya, Penjaga Hati mendapat sambutan hangat seterusnya melonjakkan namanya.
Mengulas mengenai kejayaan lagu Penjaga Hati, Nadhif berkata karya itu membuka banyak peluang buatnya dan mengeratkan hubungan dengan peminat dari luar negara, termasuk Malaysia.
“Lagu Penjaga Hati buat saya bertemu dengan ramai orang, termasuk dari luar Jakarta. Ramai yang kenal saya daripada lagu itu,” jelasnya yang memperoleh lebih empat juta pendengar di aplikasi penstriman Spotify.
Nadhif menyanyi 19 buah lagu sepanjang konsert berdurasi dua jam itu termasuklah lagu hit seperti Bergema Untuk Selamanya, Jatuh Cinta Lagi, Tiba-tiba Jumaat Lagi dan Penjaga Hati.
Selain itu, persembahan malam itu turut dimeriahkan dengan kemunculan Aziz Harun dan Aisha Retno menyanyikan single terbaharu mereka, Kota Ini Tak Sama Tanpamu yang telah memperoleh satu juta penstriman.
Sebelum mengakhiri persembahan, Nadhif berharap dalam kembali ke Malaysia dan menghiburkan peminat dengan muzik yang menyentuh hati rakyat serantau.
Selain Kuala Lumpur, Nadhif turut dijadualkan menghiburkan peminat di Singapura sebagai salah satu destinasi untuk konsert jelajah Asia Tenggara. -UTUSAN