Tegur dengan cara paling baik - Catriona Ross - Utusan Malaysia

Tegur dengan cara paling baik – Catriona Ross

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Catriona Ross, 45, tidak akan teragak-agak menegur pelakon baharu yang tidak membuat persediaan sebelum masuk ke set penggambaran.

Namun katanya, teguran yang dibuat haruslah dengan cara yang betul, bukan dengan niat negatif atau didorong emosi.

“Memang ada pelakon baru yang tak bersedia sebelum masuk set penggambaran. Skrip mereka tak baca, bila berlakon tak memberi jiwa.

“Saya terpaksa tegur pelakon-pelakon yang menunjukkan sikap seperti ini, minta mereka fahami skrip dan kembali apabila sudah benar-benar bersedia.

“Cara saya menegur pun tidaklah kasar. Kita ingatkan dengan cara paling baik,” katanya yang ditemui semasa sidang media telefilem cereka Srikandi, baru-baru ini.

Catriona mengulas tentang masalah disiplin segelintir pelakon baharu yang menyusahkan ramai pihak di set penggambaran.

Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross dalam masa yang sama mencadangkan kepada pihak penerbit atau stesen televisyen agar memastikan pempengaruh yang mereka tawarkan berlakon berminat dan berkeinginan dalam bidang lakonan.

“Saya pernah mendengar keluhan seorang pempengaruh yang rasa terbeban dengan kerja lakonan. Malah bagi dia, buat live di media sosial lebih mudah dan mendatangkan keuntungan.

“Sebab itulah kalau boleh saya nak cadangkan kepada penerbit atau stesen televisyen, kalau nak ambil pempengaruh jadi pelakon, biarlah yang betul-betul berminat dan sanggup berusaha untuk perbaiki lakonan mereka.

“Tidak semua pempengaruh yang memiliki jutaan pengikut di media sosial sebenarnya minat berlakon,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN