Tawaran jawatan tetap iktiraf kerjaya jururawat

Tawaran jawatan tetap iktiraf kerjaya jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan menawarkan jawatan tetap kepada jururawat disifatkan sebagai pengiktirafan serta jaminan kerjaya kepada golongan itu atas peranan penting mereka dalam penjagaan pesakit.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, pihaknya menyambut baik tawaran tersebut dengan menegaskan jururawat merupakan tonggak sistem kesihatan negara kerana mereka berada paling hampir dengan pesakit, sama ada di hospital mahupun klinik komuniti.

“Kecekalan, ketabahan dan kekuatan jururawatlah yang menyokong kelancaran perkhidmatan kesihatan setiap hari. Ramai dalam kalangan mereka bukan sahaja berkhidmat dengan penuh dedikasi, tetapi pada masa sama menguruskan keluarga masing-masing sambil berdepan kerenah birokrasi sistem,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, semua lantikan baharu jururawat kerajaan akan dilantik sebagai jawatan tetap dalam usaha mengatasi kekurangan jururawat di negara ini.

Katanya, KKM telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan langkah tersebut melibatkan graduan yang baru menamatkan kursus jururawat selain mereka yang akan menghabiskan tempoh lantikan kontrak masing-masing.

Jelasnya lagi, langkah itu adalah antara kelainan yang diperkenalkan dalam usaha negara mengatasi 14,000 kekosongan jawatan jururawat setakat 31 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, MMA turut berkata, kestabilan kerjaya itu diyakini akan akan meningkatkan motivasi tenaga kejururawatan sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai melalui kesinambungan rawatan yang lebih baik.

Bagaimanapun, tawaran tersebut hanyalah tonggak, sekali gus semua pihak perlu mencari jalan dalam menangani pembangunan kerjaya dan beban kerja.

“Tenaga kerja kejururawatan yang bermotivasi bermakna kesinambungan rawatan lebih baik, masa menunggu yang lebih singkat, dan kualiti perkhidmatan lebih tinggi untuk pesakit di seluruh negara.

“Namun, jaminan pekerjaan hanyalah satu tonggak. Untuk membina tenaga kerja kesihatan yang mampan dan bersedia untuk masa depan, kita juga mesti menangani pembangunan kerjaya dan beban kerja. Dengan memperkukuh ketiga-tiga tonggak ini, kita dapat mengekalkan lebih ramai jururawat, menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia menyertai profesion ini, dan memastikan pesakit terus menerima rawatan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN