Tanah Kampung Sungai Baru bukan tanah MAS

Tanah Kampung Sungai Baru bukan tanah MAS

Keadaan bumbung PPR Seri Cempaka yang diterbangkan angin ekoran hujan ribut di ibu negara, kelmarin. – FB Dr. Zaliha Mustafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tanah di Kampung Sungai Baru yang menjadi pertikaian baru-baru ini disahkan bukan berstatus Malay Agricultural Settlement (MAS) atau Tanah Rizab Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu kini masih dalam proses perbicaraan di mahkamah dan sebarang keputusan berhubung status tanah berkenaan akan diputuskan oleh pihak berkuasa terbabit.

Katanya, pihaknya menghormati proses perundangan sedia ada dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menilai segala bukti yang telah dikemukakan.

“Setakat apa yang kita maklum, tanah itu bukan tanah MAS, tetapi memandangkan perkara ini sudah dibawa ke mahkamah, maka biarlah keputusan rasmi dibuat di sana,” katanya selepas membuat tinjauan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus Tanah Rizab Melayu seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Pengerusinya, Sanita Yunus berkata, perkara itu terbukti me­lalui perjanjian jual beli antara pemilik rumah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971.

Zaliha menjelaskan, isu status tanah memainkan peranan pen­ting kerana ia menentukan bentuk tindakan serta perjanjian yang boleh diambil oleh pihak pemaju dengan penduduk.

“Kalau itu bukan tanah MAS, tentulah ada sekatan-sekatan yang berbeza berbanding tanah MAS atau Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Ditanya mengenai adakah wujud perjanjian atau jaminan yang hanya membenarkan orang Melayu menduduki kawasan tersebut, beliau menyatakan perkara itu masih dalam perbincangan.

Katanya, rundingan pihak pemaju dan wakil penduduk masih berlangsung, malah pemaju juga disifatkan terbuka mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Setakat maklumat yang kita terima, pemaju bersedia berbincang dengan penduduk, jadi kita usaha supaya ada persetujuan yang boleh menjaga kepentingan semua pihak,” katanya.

Dr. Zaliha menambah, kerajaan mengambil maklum kebimba­ngan penduduk dan dalam masa sama tetap menitikberatkan kepentingan masyarakat Melayu di kawasan berkenaan.

Beliau menegaskan perkara itu selaras dengan titah Sultan Selangor yang mengingatkan supaya kepentingan orang Melayu di negeri ini sentiasa dipelihara dalam apa juga keputusan pembangunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN