PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengingatkan bakal jemaah haji agar segera mengemas kini maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan proses komunikasi serta tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan lancar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung, Mustakim Mohamad berkata, semua bakal jemaah haji boleh menyemak giliran menunaikan haji di platform THiJARI atau di pejabat cawangan Tabung Haji di seluruh negara.
“Peringatan berterusan ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan semua bakal jemaah haji menerima maklumat terkini yang tepat, termasuk jadual taklimat persediaan, kursus haji serta segala panduan perjalanan ke Tanah Suci.
“Tabung Haji amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini bagi memastikan urusan haji dapat diatur dengan sebaiknya. Kami berharap semua bakal haji dapat memberikan kerjasama mengemas kini profil masing-masing dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Mustakim berkata, Tabung Haji mendapati terdapat 521 bakal haji dalam senarai giliran 1447H/2026M yang tidak dapat dihubungi, sekali gus menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat penting berkaitan persediaan dan pengurusan ibadat itu.
“Tabung Haji menggesa semua pendeposit terutama bakal jemaah haji untuk mengambil tindakan segera dengan hadir ke pejabat cawangan TH terdekat atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 bagi mengemas kini serta mengesahkan profil maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel terkini.
“Semua bakal jemaah supaya membuat persediaan awal dari segi kesihatan, kewangan, serta ilmu pengetahuan berkaitan ibadah haji demi memastikan urusan penerimaan tawaran haji dan perjalanan ke Tanah Suci dapat dilaksanakan dengan lancar dan mabrur,” jelasnya.-UTUSAN










