PETALING JAYA: Penyanyi, Syasya Rizal mencuri tumpuan apabila memuat naik sebuah video memberi bayangan dirinya sedang hamil anak kedua.
Menerusi perkongsian tersebut, Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, meletupkan konfeti disaksikan suami, Nasrullah dan anak pertama mereka, Muhammad Yassir Hayyan.
Bekas ahli kumpulan Dolla itu juga hanya berkongsi kapsyen ringkas iaitu dua emoji berbentuk hati berwarna biru dan merah jambu.
Peminat mula membanjiri ruangan komen menjangkakan penyanyi Raya Pum Pang itu sedang hamil anak kedua. Malah, ada juga beranggapan Syasya bakal menimang anak kembar.
“Kembar? Alhamdulillah tahniah,” tulis satu komen.
“Seronoknya harap tahun depan saya boleh ‘join’ ada anak kembar,” usik seorang peminat.
“Diam-diam sudah ada anak kedua waktu muda,” kata komen lain.
Bagaimanapun, Syasya dan suami tidak memberi sebarang kenyataan atau mengulas lanjut mengenai sangkaan warganet itu.
Terdahulu, Syasya mengumumkan pengunduran dari kumpulan Dolla sebelum berkahwin dengan Nasrullah pada 20 April 2024.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Yassir Hayyan pada 23 December 2024. -UTUSAN