SPPP dijangka perkenal inisiatif pelesenan terhadap semua jeti persendirian

SPPP dijangka perkenal inisiatif pelesenan terhadap semua jeti persendirian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bakal melaksanakan inisiatif pelesenan terhadap semua jeti persendirian yang berada dalam kawasan had Pelabuhan Pulau Pinang sebagai langkah memperkukuh tadbir urus maritim di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, inisiatif itu dibuat bagi memastikan setiap pengoperasian jeti mematuhi garis panduan yang ditetapkan sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta keberkesanan operasi pelabuhan.

“Setakat ini, terdapat 38 buah jeti persendirian yang dikenal pasti wujud di kawasan pelabuhan dengan sebahagian daripada jeti itu digunakan oleh nelayan manakala selebihnya pula diguna untuk mengendalikan komoditi selain hasil laut.

Dalam hal ini, SPPP dengan kerjasama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan sentiasa memberi tumpuan kepada pemantauan jeti-jeti persendirian ini selain memberi penerangan mengenai garis panduan pengoperasian yang perlu dipatuhi,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Soon Hin, pelaksanaan pelesenan itu akan dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi kerajaan berkaitan melalui sesi libat urus yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Langkah tersebut (inisiatif pelesenan) bukan sahaja akan memperkukuh aspek kawal selia (jeti), malah, ia dapat memelihara kepentingan ekonomi dan keselamatan maritim secara berterusan di Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN