GEORGE TOWN : Sokongan masyarakat terhadap projek pembangunan Pulau Silikon disifatkan semakin kukuh apabila majoriti nelayan dan penduduk setempat memberikan maklum balas positif hasil pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) serta Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, trend penerimaan itu membuktikan bahawa keyakinan rakyat meningkat apabila manfaat pembangunan dapat dirasai secara nyata selain usaha pemuliharaan alam sekitar turut berjalan seiring.
Menurut beliau, tinjauan terbaru oleh Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (FSC) mendapati, majoriti daripada 180 penerima memberi maklum balas positif terhadap projek berkenaan.
“Dapatan ini selari dengan Penilaian Impak Sosial (SIA) 2022 yang menunjukkan bahawa kadar penerimaan masyarakat di kawasan selatan Pulau Pinang ketika ini melonjak kepada 79.1 peratus berbanding hanya 51.1 peratus pada 2019.
“Semua ini menunjukkan bahawa apabila pembangunan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan berpaksikan rakyat, maka, keyakinan masyarakat dapat diperkukuh.
“Sokongan mereka bukan lagi atas dasar janji, tetapi atas pengalaman sebenar kerana menerima manfaat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan manfaat SIMP di Kampung Binjai, Bayan Lepas di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 22 nelayan turut menerima bot dan enjin di bawah SIMP manakala 13 daripada 23 nelayan kumpulan keempat kursus jurumudi yang lulus peperiksaan ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia pula menerima sijil kompetensi masing-masing.
Turut diraikan ialah empat pelajar yang juga anak kepada kumpulan nelayan terbabit atas pencapaian akademik masing-masing menerusi Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Kemasukan Pengajian Tinggi dengan insentif tunai sebanyak RM500 setiap seorang.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, inisiatif SIMP dan PEOM bukan sahaja menjaga kebajikan nelayan serta melindungi ekosistem marin, malah, ia memberi manfaat jangka panjang melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Katanya, manfaat itu bukan sahaja mampu melahirkan generasi baharu yang berpengetahuan dan berdaya saing, malah, ia mampu membentuk masa depan yang lebih cerah untuk komuniti nelayan.-UTUSAN










