KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), sekali gus memperluas jaringan perlindungan kepada pekerja yang ditimpa kemalangan di luar waktu bertugas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bagi memastikan pekerja turut dijamin keselamatan sosial sekiranya terlibat kemalangan ketika di luar waktu rasmi berkerja.
Anwar berkata, pengenalan skim baharu itu selari dengan perubahan corak pekerjaan masa kini yang semakin menekankan sistem kerja fleksibel dan jarak jauh, justeru memerlukan penyesuaian mekanisme perlindungan sosial agar terus relevan dengan keperluan semasa.
“Tekanan kerja tidak berhenti di pintu pejabat atau kilang.
“Perlindungan sosial mesti bergerak seiring realiti baharu ini, justeru SKBBK akan memastikan pekerja mendapat perlindungan sepanjang masa kerana kemalangan tidak mengikut jadual,” katanya ketika merasmikan Forum Perlindungan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.
Forum yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso itu menghimpunkan lebih 2,000 delegasi antarabangsa termasuk menteri, pakar serta penggubal dasar bagi membincangkan hala tuju perlindungan sosial global.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sebelum ini, perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya melibatkan dua skim utama iaitu Skim Bencana Pekerjaan yang meliputi kemalangan ketika bertugas atau dalam perjalanan ke tempat kerja dan Skim Keilatan bagi pekerja yang hilang upaya menyeluruh sebelum mencapai umur persaraan.
Perdana Menteri berkata, kewujudan SKBBK melengkapkan ekosistem perlindungan dengan memberikan insurans kemalangan di luar waktu dan premis kerja, sekali gus memperluaskan liputan kepada 24 jam sehari.
Katanya, pindaan Akta 4 yang akan dibentangkan di Parlimen juga penting untuk memperkukuh kerangka perundangan negara agar lebih inklusif serta selaras dengan keperluan tenaga kerja semasa.
Menurutnya, kerajaan turut menumpukan kepada integrasi sistem digital dalam penyampaian perlindungan sosial bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dan capaian yang lebih luas, termasuk kepada komuniti di pedalaman.
“Perjalanan ini masih jauh daripada sempurna, namun hala tuju kita jelas.
“Kemakmuran sebenar bukan diukur pada ketinggian pencakar langit atau angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi pada maruah rakyat dalam menjalani kehidupan seharian mereka,” katanya. – UTUSAN










