KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dipinda bagi melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) untuk memperluas jaringan perlindungan kepada pekerja ditimpa kemalangan di luar waktu bertugas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu selari perubahan corak pekerjaan semakin menekankan sistem kerja fleksibel dan jarak jauh yang memerlukan penyesuaian perlindungan sosial agar relevan dengan keperluan semasa.
“Tekanan kerja tidak berhenti di pintu pejabat atau kilang. Apa yang penting, ia akan memanjangkan perlindungan sepanjang masa, menyedari bahawa kemalangan dan kecederaan tidak mengenal waktu.
“Perlindungan sosial mesti bergerak seiring realiti baharu ini, justeru SKBBK akan memastikan pekerja mendapat perlindungan sepanjang masa kerana kemalangan tidak mengikut jadual,” katanya ketika merasmikan Forum Perlindungan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Forum anjuran Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menghimpunkan lebih 2,000 delegasi antarabangsa termasuk pakar dan penggubal dasar bagi membincangkan hala tuju perlindungan sosial.
Sebelum ini, perlindungan Perkeso melibatkan Skim Bencana Pekerjaan meliputi kemalangan ketika bertugas atau dalam perjalanan ke tempat kerja dan Skim Keilatan bagi pekerja hilang upaya menyeluruh sebelum mencapai umur persaraan.
Anwar berkata, perlindungan sosial bukan sekadar sistem birokrasi pemberian faedah tetapi ia harus dilihat sebagai infrastruktur moral.
Dalam tradisi Islam, beliau berkata, Baitulmal diperkenal sejak dulu untuk memastikan kekayaan digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain.
“Berpandukan prinsip ini, Malaysia membentuk semula perlindungan sosialnya sendiri. Ia diperluas kepada mereka sudah lama berada di luar perlindungan, kepada pekerja tidak formal, suri rumah serta pemandu gig,” katanya.
“Berpandukan prinsip ini, Malaysia membentuk semula perlindungan sosialnya sendiri. Kami memperluaskannya kepada mereka yang sudah lama berada di luar perlindungan. Sebagai balasan kepada pekerja tidak formal, suri rumah serta pemandu gig yang turut menikmatinya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia menuju negara menua dengan data menunjukkan menjelang 2030 satu daripada tujuh rakyat Malaysia berumur lebih daripada 60 tahun.
“Perubahan ini akan memberi kesan besar kepada bentuk masyarakat kita dan kita mesti bersedia. Warga emas membawa kebijaksanaan dan kemahiran.
“Tugas kita ialah menyediakan penjagaan yang perlu serta untuk membolehkan mereka terus menyumbang supaya proses penuaan dilihat sebagai fasa yang bermaruah dan penuh potensi,” katanya.-UTUSAN










