Sijil halal diragui, dada ayam sejuk beku bernilai RM200,000 disita - Utusan Malaysia

Sijil halal diragui, dada ayam sejuk beku bernilai RM200,000 disita

MOHD. Khairul Anuar Roselan (kanan) bersama Penolong Penguatkuasa Maqis Kedah, Rohaimishah Che Me menunjukkan ayam sejuk beku yang disita di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cubaan membawa masuk 25 tan ayam sejuk beku dari negara jiran gagal selepas kegiatan itu dikesan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dalam kejadian sekitar 11.40 pagi itu, pihak berkuasa menahan sebuah lori kontena dari negara jiran sebelum menemukan 2,084 kotak berisi bahagian dada ayam tanpa tulang sejuk beku bernilai RM200,000.

Timbalan Komander (Pengurusan) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Dr. Mohd. Khairul Anuar Roselan berkata, siasatan awal mendapati nombor rujukan sijil halal (Cicot) yang tertera tidak sepadan antara dokumen yang dibekalkan dan pada bungkusan produk. 

“Ketidaksamaan itu menimbulkan keraguan terhadap status halal ayam itu. Kita percaya dokumen itu mungkin palsu atau mengelirukan, maka siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, produk tersebut telah disita,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut beliau, sitaan tersebut adalah yang terbesar daripada tujuh kes sepanjang tahun ini dengan kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah untuk siasatan lanjut.

Mohd. Khairul Anuar berkata, pihaknya memandang serius kes berkaitan sijil halal demi kualiti dan keselamatan produk kepada masyarakat.

“Produk ini dipercayai dibawa untuk dihantar ke kilang memproses makanan berasaskan ayam dan restoran, jadi penting untuk kita memastikan keterjaminan dan keselamatan produk ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN