KUALA LUMPUR: Pelakon, Sherry Ibrahim, 42, mengakui agak kehairanan apabila kisah percintaan silamnya dengan seorang pelakon popular sebelum ini diungkit dan diperkatakan semula di media sosial.
Katanya, cerita itu tidak seharusnya diperkatakan lagi kerana sudah berlalu terlalu lama.
“Saya tidaklah terkilan apabila ia diungkit semula, cuma lebih kepada kehairanan, kenapa kisah silam saya masih dikaitkan?
“Saya dan individu tersebut pun sudah terlalu lama membawa haluan masing-masing.
“Saya rasa semua orang perlu melupakan kisah percintaan saya yang sudah berlalu. Janganlah timbulkan andaian yang boleh mencetuskan fitnah,” katanya yang ditemui pada sidang media drama FYP di RTM petang tadi.
Sherry mengulas tentang gambar lama bersama bekas teman lelaki yang juga pelakon popular yang ditularkan semula di media sosial sehingga mengundang cacian netizen.
Disoal mengenai luahan berkaitan perkara itu di Instagram baru-baru ini, Sherry menyifatkan tindakan itu perlu bagi menjernihkan situasi dan menamatkan spekulasi.
“Mengenai perkara ini, hendak komen pun, takut pula saya tersalah cakap. Bila didiamkan, kena juga tempiasnya.
“Kalau boleh memanglah saya tak mahu komen lebih. Namun ada perkara yang tidak sepatutnya saya diamkan.
“Selama ini saya banyak juga memendam perasaan. Jadi kali ini saya rasa sudah masanya untuk semua yang terbuku dalam hati diluahkan di media sosial supaya orang faham keadaan saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sherry mengakui lega selepas berkongsi perasaan di media sosial.
“Sebenarnya saya lega selepas perkongsian itu sebab maklum balas saya terima menerusi komen dan mesej di media sosial sangat positif.
“Saya cuma mahu orang lai faham apa yang saya pendam, itu sahaja,” jelasnya.-UTUSAN