Semoga Indonesia kembali aman - Inul Daratista - Utusan Malaysia

Semoga Indonesia kembali aman – Inul Daratista

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut popular Indonesia, Inul Daratista, mengakui perniagaannya turut terjejas susulan kemelut politik yang berlaku di tanah tercintanya beberapa minggu lalu.

Turut berduka dengan situasi yang berlaku, Inul atau Ainur Rokhimah, 46, bagaimanapun lega apabila situasi kini sudah kembali reda selain berharap segalanya kembali normal seperti sediakala.

“Saya sedih dengan situasi yang melanda Indonesia kini apatah lagi banyak perkara yang terjejas termasuklah sektor perniagaan. Saya tidak ikut demonstrasi tersebut tetapi mengambil tahu perkembangan semasa yang berlaku termasuk keadaan politik di Indonesia.

“Saya juga mempunyai lebih 5,000 pekerja yang terkena tempias akibat demonstrasi yang berlaku Alhamdulillah, keadaan kini semakin positif dan kembali reda.

“Harap semuanya kembali aman dan urusan harian dapat berjalan secara normal,” katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, hari ini.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Goyang Inul itu turut bersimpati dengan nasib ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) juga kenalannya yang terpalit dalam kemelut tersebut.

“Saya juga berasa serba salah dengan nasib yang menimpa beberapa DPR. Ini kerana mereka yang terlibat adalah kenalan. Ada di antara mereka sudah digantung tugas dan dipecat.

“Semoga isu ini menjadi pengajaran dan orang ramai mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Doakan Indonesia kembali aman,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Inul bakal beraksi sepentas dengan dua penyanyi dangdut Malaysia, Amelina dan Baby Shima di Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ pada 6 Disember ini.

Konsert yang bakal berlangsung di Setua Spice Arena Pulau Pinang itu secara tidak langsung bakal menjadi konsert pertama buat Inul selepas hampir 20 tahun tidak beraksi di pentas besar.

Tiket Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ itu sudah mula dijual menerusi laman sesawang www.myticket.asia pada 9 September.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN