CALIFORNIA: Selebriti pop terkenal, Selena Gomez, sah bergelar isteri kepada penerbit muzik, Benny Blanco pada Ahad.
Mereka diraikan di sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Sea Crest Nursery, Santa Barbara iaitu lokasi eksklusif yang dikelilingi tumbuhan semula jadi.
Sambutan dan majlis perkahwinan mereka sebenarnya sudah dimulakan awal iaitu pada Jumaat untuk sesi raptai serta acara makan malam bersama kenalan terdekat di sebuah banglo mewah.
Difahamkan untuk hari ini, 170 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua mempelai hadir memeriahkan upacara itu termasuklah penyanyi Taylor Swift, Ed Sheeran dan pelakon Martin Short.
Gomez tampil anggun mengenakan gaun satin dengan sulaman tangan, dipadankan dengan sejambak bunga. Bagi melengkapkan gaya, penyanyi itu juga memakai aksesori rekaan Tiffany & Co.
Manakala Blanco segak menggayakan tuksedo hitam yang Kedua-dua busana pengantin tersebut merupakan rekaan eksklusif daripada Ralph Lauren.
Gomez juga berkongsi beberapa keping gambar perkahwinannya di media sosial dengan kapsyen tarikh perkahwinan mereka hari ini.
Pasangan romantik ini menerima ucapan tahniah dan doa daripada para peminat di seluruh dunia yang teruja melihat Gomez dan Blanco melangkah ke fasa baharu kehidupan mereka sebagai suami isteri. -UTUSAN