Selangor sambut baik cadangan Program RXZ di Sepang

Selangor sambut baik cadangan Program RXZ di Sepang

Amirudin Shari meluangkan masa melihat aktiviti yang dijalankan sempena perasmian Pesta Pantai 2025 di Pantai Bagan Lalang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik cadangan penganjuran Program RXZ di daerah ini dan akan meneliti kesesuaian pelaksanaannya dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri pernah menerima cadangan berhubung penganjuran program itu pada tahun lalu. 

Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut akan dikaji semula bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat tempatan, selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh industri sukan pemotoran.

“Kerajaan memang terbuka terhadap cadangan Program RXZ ini. Kita akan teliti persesuaian supaya ia memberi nilai tambah kepada rakyat dan tidak hanya berbentuk acara hiburan semata-mata.

“Antara perkara yang diberi perhatian ialah bagaimana program ini dapat menyokong industri sukan secara menyeluruh, khususnya dalam bidang pemotoran,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang 2025 di sini hari ini.

Amirudin berkata, Sepang merupakan lokasi yang strategik kerana sudah memiliki infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa termasuk Litar Antarabangsa Sepang (LIC) dan Litar Rakyat Kuala Selangor. 

Katanya, kedua-dua kemudahan itu saling melengkapi dan telah melahirkan ramai bakat baharu dalam sukan permotoran.

“Beberapa jaguh hebat juga lahir di litar ini dan perancangan ini sudah dimasukkan ke dalam Rancangan Selangor Kedua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN