DI tengah arus pembangunan pesat Kuala Besut, Terengganu yang menjadi pintu masuk utama ke Pulau Perhentian, terselit sebuah bangunan kecil yang sarat dengan sejarah, namun kini bagaikan terabai.
Surau Tok Sheikh atau Surau Jamhuriah yang suatu ketika dahulu terkenal dalam kalangan pedagang dan nilai warisan yang dimilikinya kian tenggelam ditelan modenisasi. Bangunan ini bukan sekadar surau biasa, sebaliknya menyimpan nilai sejarah yang tinggi.
Ia pernah diiktiraf sebagai Surau Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan dilabelkan secara rasmi sebagai bangunan warisan oleh Pesuruhjaya Warisan Malaysia, Datin Paduka Zuraina Majid pada 2012.
Mengikut cerita orang dulu-dulu, surau ini dibina sekitar 1926 oleh peniaga Pakistan pada zaman penjajahan British dan kini sudah 13 tahun dinobatkan gelaran Surau Warisan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Ketika itu, ia menjadi pusat ibadah dan dakwah bagi pedagang asing yang singgah di muara Kuala Besut, pusat perdagangan Seberang Kastam dan ribuan pengunjung pasar Jumaat yang terkenal.
Surau ini dahulunya turut dikenali sebagai ‘Masjid India Kuala Besut’ sebelum pembinaan Masjid Al-Jamhuriah di kawasan yang berhampiran tanah perkuburan lama. Masjid berkenaan kemudian berkembang sebagai mercu tanda Kuala Besut yang dikenali hingga hari ini.
Surau warisan menjadi saksi sejarah perjalanan masyarakat Islam di kawasan itu. Ia bukan sahaja tempat solat, malah pernah menjadi pusat tabligh, medan pengajian kitab dan lokasi berhimpun penduduk setempat.
Malangnya wajah Kuala Besut yang kini dihiasi premis perniagaan moden, hotel dan terminal pelancongan seolah-olah menenggelamkan kewujudan surau bersejarah ini.
Setiausaha surau itu, Mohd. Azmi Ya, 56, melahirkan kebimbangan apabila keadaan bangunan berkenaan bagaikan malap dari aspek sejarah dan prasarananya.
“Bangunan asal berkeluasan 10×10 meter ini sudah luntur warnanya. Cat dinding mengelupas, sebahagian siling pecah tidak berganti manakala bumbung dan alangnya reput dimakan anai-anai.
“Karpet dan sejadah lama juga semakin pudar, malah ruang solat wanita masih ada yang tidak beralas,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, walaupun diiktiraf sebagai bangunan warisan, tiada papan tanda atau monumen sejarah yang diletakkan untuk memberi maklumat kepada pelancong.
“Kita bimbang kalau dibiarkan begini, generasi akan datang tidak lagi mengenali surau warisan ini. Sepatutnya ada usaha kerajaan negeri atau pusat untuk memulihara agar seiring dengan status warisan yang diberi,” katanya.
Walaupun serba kekurangan, surau itu masih aktif dengan majlis ilmu dan pengajian kitab setiap malam dengan semua kos penceramah dan pengimarahan surau ditanggung menerusi sumbangan orang ramai.
“Buat masa sekarang, kita bergantung kepada tabung sumbangan jemaah serta derma terus ke akaun bank surau. Ahli kariah juga bergilir-gilir menyumbang tenaga untuk memastikan surau terus hidup,” ujar Mohd. Azmi.
Beliau berkata, pihak surau juga sedang melantik barisan jawatankuasa baharu menggantikan mereka yang uzur atau telah meninggal dunia demi memastikan kesinambungan perjuangan menjaga surau bersejarah itu.
Hakikatnya, Surau Jamhuriah bukan sekadar bangunan kecil di celah pembangunan kawasan itu sebaliknya simbol identiti masyarakat setempat dan bukti sejarah penyebaran Islam yang pernah subur di muara ini.
Kini kariah surau mengharapkan kerajaan memberi perhatian khusus termasuk peruntukan membaik pulih supaya surau warisan itu kembali bersinar sebagai ikon sejarah dan tarikan pelancongan Islam.
Surau kecil ini mungkin sederhana tetapi nilainya jauh lebih besar daripada kelihatan, tetapi ia adalah warisan yang jika tidak dipelihara, berisiko hilang ditelan zaman.-UTUSAN











