ARAU: Penganjuran pelbagai aktiviti bertemakan kemerdekaan sepanjang tempoh bulan kebangsaan oleh Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini, adalah bagi memupuk semangat patriotisme bermula di peringkat kanak-kanak.
Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim berkata, sepanjang bulan kebangsaan, pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan kemerdekaan seperti hiasan kelas, replika kenderaan, pengisahan kisah-kisah sejarah, hari terbuka makanan tradisi dan pelbagai lagi.
Katanya, setiap program dan aktiviti yang diadakan itu adalah bagi menerapkan nilai-nilai kemerdekaan serta menonjolkan taat setia dan menghargai negara tercinta.
Beliau berkata, ia juga bagi menyemai serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program-program ini. Guru-guru dan ibu bapa selain murid-murid sekolah yang telah menunjukkan komitmen cukup tinggi dalam menjayakan pelbagai program kemerdekaan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan Peringkat STB yang berlangsung meriah di Dewan Sivik, kelmarin.
Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Dr. Ismail Ma’arof.
Lebih 1,000 murid bersama ibu bapa yang segak memperagakan pakaian bertema kemerdekaan mengikuti perarakan sempena majlis penutupan berkenaan.
Sambutan berkenaan turut diserikan dengan perarakan kenderaan berhias, selain motosikal berkuasa tinggi yang penyertaannya terdiri dalam kalangan ibu bapa.
Perarakan yang diadakan pada waktu malam juga disifatkan penuh ikonik, sekali gus menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri sempena penutupan sambutan bulan kebangsaan peringkat sekolah.
Sambutan bermula pukul 8.30 malam sehingga 11 malam itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan nyanyian, sajak, gimik sejarah sekolah berusia 130 tahun itu, sebelum ditutup dengan pertunjukan bunga api.
Sementara itu, Ismail berkata, majlis perarakan tersebut berlangsung cukup meriah yang turut membabitkan keterlibatan ibu bapa.
“Ibu bapa memberi sokongan cukup baik dengan mengikuti perarakan bersama anak-anak, perarakan kenderaan berhias selain bersama-sama memeriah sambutan ini,” katanya. – UTUSAN










