GURUN: Seorang bapa kepada dua anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan membunuh isterinya dan seorang peniaga telefon bimbit dalam kejadian di Guar Chempedak pada 11 September lalu.
Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Beliau tiba di pekarangan mahkamah dengan kenderaan polis kira-kira jam 8.35 pagi, manakala beberapa ahli keluarga termasuk bapanya turut hadir mengikuti prosiding.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30, di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak antara jam 9 hingga 10 malam pada tarikh berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh membunuh isterinya, Nurul Nur Syamira Khamis, 28, di lokasi dan masa sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah boleh dipenjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim bersama Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.
Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia serta dokumen berkaitan. Tiada jaminan ditawarkan. – UTUSAN










