IPOH: Dakwaan wujud 120 Akuan Bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani oleh Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah dipercayai untuk menyokong Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menganggap isu berkenaan SD itu lebih kepada persepsi.
“Kebetulan ada satu kenyataan pada hari mesyuarat sayap-sayap parti itu menyatakan 120 Ketua Bahagian makan tengah hari dengan Timbalan Presiden (Datuk Seri Hamzah Zainudin). Mungkin itulah dianggap sebagai SD (menggesa Muhyiddin melepaskan jawatan).
“Yang saya tahu SD itu menyokong Presiden, bukan minta jatuhkan Presiden,” katanya ketika ditemui semasa sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Dilaporkan, 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani SD menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Hamzah.
Muhyiddin dalam ucapan dasar Presiden Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu mengingatkan bahawa tindakan pihak mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya bercanggah dengan Perlembagaan parti.
Mengenai Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail yang dikaitkan dengan kekecohan dalam PAT pada Sabtu lalu, Zainol Fadzi berkata beliau difahamkan bekas pegawai khasnya itu sebenarnya mahu menjelaskan bahawa kewujudan 120 SD mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan itu adalah tidak benar.
Zainol Fadzi pada masa sama berkata, kewujudan kem berbeza menyokong pemimpin tertentu dalam parti politik adalah satu perkara biasa dah ahli parti perlu bersikap matang tentang perkara tersebut.
Cuma katanya, mungkin disebabkan kekecohan itu berlaku semasa perasmian PAT menyebabkan perkara tersebut mendapat tumpuan ramai.
Jelasnya, beliau sudah lali dengan dakwaan kewujudan pelbagai SD dan perbezaan penyokong termasuk di Perak antara beliau dengan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – UTUSAN