KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Nadira tidak menolak kemungkinan untuk melangkah ke fasa yang lebih serius dalam perhubungan selepas mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang jejaka sejak enam bulan lalu.
Bagaimanapun Rita atau nama sebenarnya, Rita Nadira Mohd Ritamurni, 28, masih berhati-hati dalam berkongsi secara terbuka tentang hubungan itu.
“Kami dalam fasa berkawan dan saling mengenali. Saya dah kenal dia lebih kurang enam bulan.
“Umur saya pun dah 28 tahun. Kalau ada rezeki dan jodoh, kenapa tidak? Tapi buat masa ini kami masih dalam proses mengenali hati budi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sidang media filem Qifarah pada Ahad.
Mengulas mengenai foto lelaki berjambang yang pernah dikongsikan di laman sosial, Rita menjelaskan bahawa beliau memilih untuk lebih berahsia demi menjaga privasi individu tersebut.
“Dulu saya agak terbuka dalam berkongsi soal peribadi. Tapi sekarang, mungkin sebab lebih matang dan menghormati privasi dia, jadi saya lebih berhati-hati.
“Lagipun saya tak pasti sama ada orang suka atau sebaliknya kalau saya kongsi lebih-lebih,” ujarnya.
Tambahnya lagi, jejaka yang berjaya mencuri hatinya itu bukan daripada kalangan selebriti mahupun individu dalam industri hiburan tanah air.
Dalam pada itu, pelakon drama Cinta Untuk Sekali Lagi itu turut menjelaskan mengenai hubungan terdahulunya bersama penyanyi, Chubb-E yang pernah menjadi bualan ramai.
“Kami sekarang dah tidak berkawan rapat seperti dulu. Tapi hubungan kami baik dan masih saling menghormati antara satu sama lain,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan lain, Rita bakal mewarnai layar perak menerusi filem seram terbaharu berjudul Qifarah, arahan pengarah tersohor, Ghaz Abu Bakar.
Filem berkenaan yang dijadualkan menemui penonton bermula 9 Oktober depan turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Vanida Imran, Namron dan Esma Daniel. -UTUSANi