Pandemik Covid-19 suatu ketika dahulu pernah menghentikan langkah Ameer Farhan Ahmad Fuad, 25, sebagai juruterbang.
Situasi itu mendorongnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, sebelum kembali kepada kerjaya juruterbang di Malaysia Airlines (MAS).
“Selepas tamat SPM (peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia), saya menyambung pengajian Pilot School di Melaka selama dua tahun.
“Sepatutnya saya terus masuk MAS, tapi disebabkan Covid-19, kami semua direhatkan. Jadi masa tu ada yang masuk bisnes, ada yang sambung belajar. Saya pilih untuk sambung belajar,” ujarnya.
Ketika ditanya mengapa memilih jurusan tersebut memandangkan ia adalah satu cabang yang berbeza, Ameer Farhan menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas dorongan keluarga.
“Keluarga saya tanya nak ambil kursus apa. SPM saja yang saya ada masa tu. Jadi ayah saya, seorang jurutera, cadangkan kejuruteraan. Mula-mula saya minat mekanikal, tapi ayah kata sekarang dunia teknologi, jadi lebih baik ambil pengajian bidang elektrik. Saya ikut nasihat tersebut,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pengalaman sepanjang melanjutkan pengajian di UiTM sedikit sebanyak memberi nilai tambah terhadap kerjayanya profesi ketika ini.
“Kejuruteraan ini memang penyelesaian masalah adalah yang utama, bukan sekadar matematik atau sains, tapi dalam apa-apa situasi. Itu yang saya belajar di UiTM dan alhamdulillah membantu
dalam kerjaya saya sebagai juruterbang,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan cabaran utama yang perlu dilalui sepanjang bergelar seorang pelajar adalah pengurusan masa.
“Hendak bahagikan masa untuk belajar, rehat, bersosial, bersukan. Kalau boleh urus masa, Insya-Allah okay.
Saya ikut juga nasihat keluarga, iaitu pastikan rehat cukup, buat perancangan yang baik, dan perlu atur diri supaya boleh capai apa yang dikehendaki,” katanya lagi. Selepas menamatkan pengajian diploma, selama tiga tahun, Ameer Farhan kembali meneruskan latihan penerbangan dan kini sedang berkhidmat bersama Malaysia Airlines sejak September 2024.
Setakat ini, saya akan teruskan kerja dengan MAS dalam sektor penerbangan. Dari segi melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya itu, mungkin saya akan pertimbangkan kemudian,” ujarnya.
Dia turut berpesan kepada semua pelajar lain supaya tidak mudah berputus asa, Baginya, kunci kejayaan seseorang adalah terletak pada usaha yang berterusan, pengurusan diri yang baik dan keyakinan diri bahawa setiap cabaran mampu diatasi dengan fikiran yang positif. – UTUSAN