KUALA LUMPUR: Pelakon dan model, Haneesya Hanee, 25, mengakui dirinya menjadi mangsa penganiayaan pihak tidak bertanggungjawab apabila gambarnya memakai tudung sambil menampakkan paha, disebarkan.
Gara-gara penyebaran gambar tersebut, Haneesya teruk menerima kecaman dan dikatakan telah mempersenda agama Islam.
“Ketika itu sesi fotografi untuk jenama berkenaan telah selesai, saya pun sudah bersedia untuk pulang.
“Tiba-tiba pihak terbabit membuat permintaan untuk ambil beberapa lagi keping gambar saya memakai hijab.
“Awalnya saya menolak kerana tidak mengenakan pakaian yang sesuai. Namun, selepas itu saya bersetuju apabila mereka memaklumkan hanya mahu mengambil gambar close up sahaja.
“Saya berulang kali berpesan kepada pihak tersebut agar tidak merakam seluruh badan saya.
“Namun gambar itu ditayangkan dan menjadi foto pertama yang dimuat naik (di media sosial). Saya rasa teraniaya,” katanya.
Haneesya berkongsi perkara itu menerusi program No Filter musim kedua kelolaan Elly Mazlein.
Haneesya dalam masa yang sama tidak menolak dirinya digunakan sebagai bahan kontroversi untuk mempopularkan jenama tersebut.
“Ketika itu nama saya memang tengah naik, sebelum itu pun sudah ada kontroversi.
“Pada saya disebabkan kontroversi-kontroversi saya itu membuatkan jenama berkenaan semakin dikenali,” kongsinya. – UTUSAN