JAKARTA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkata kehadirannya di festival muzik popular Indonesia, Pestapora 2025 adalah untuk menyampaikan salam dan sokongan rakyat Malaysia kepada Indonesia.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata demikian susulan beberapa siri demonstrasi dan ketegangan di Indonesia baru-baru ini.
“Impian saya untuk hiburkan peminat di Indonesia akhirnya tercapai. Saya cintakan anda semua.
“Sepanjang menjadi penyanyi, saya tidak hanya menerima sokongan peminat, malah rakan-rakan artis dari Indonesia membuat saya rasa dihargai.
“Saya ingin memgingatkan bahawa muzik selalu menyatukan kita sejak hari pertama. Kita sama-sama saling menjaga. Saya bawakan pelukan hangat rakyat Malaysia untuk anda semua,” katanya.
Siti berkata demikian ketika membuat persembahan di pentas terbesar Festival Pestapora 2025 di Jakarta International Expo pada Ahad.
Dalam pada itu, Siti juga tidak menyangka kehadirannya di Pestapora 2025 menerima sambutan hangat pengunjung apabila ribuan peminat membanjiri perkarangan pentas utama sejak dua petang.
“Saya sangat rindukan peminat saya kerana sudah lama tidak hadir membuat persembahan di sini. Terima kasih memberikan semangat luar biasa hari ini. Terima kasih juga kepada penganjur kerana mengundang saya.
“Mungkin ada di antara kalian yang dengar lagu saya sejak kecil kerana diperkenalkan oleh ibu bapa. Jadi hari ini saya mahu kembalikan semula lagu popular saya untuk dinyanyikan bersama,” katanya yang turut memberi bayangan bakal mengadakan konsert.
Dalam persembahan berdurasi satu jam itu, Siti menyanyikan 11 lagu termasuk lagu keramat yang membawanya berjaya membolosi pasaran muzik Indonesia, Betapa Aku Cinta Padamu.
Selain itu, Siti turut menyanyikan lagu hit Cindai, Nirmala, Bukan Cinta Biasa duet bersama Afgan, Biarlah Rahsia dan lagu terbaru, Menamakanmu Cinta.
Untuk rekod, kali terakhir Siti hadir membuat persembahan di Indonesia adalah pada 2019 menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan. -UTUSAN