SEOUL: Anggota kumpulan BTS, Jungkook menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak menceroboh kawasan kediamannya.
Katanya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengurung dan menyerahkan pelaku kepada pihak berkuasa sekiranya kes sama berulang.
“Saya akan kurung anda jika menceroboh, kemudian serahkan kepada polis.
“Rumah saya dilengkapi kamera litar tertutup. Setiap pergerakan dirakam.
“Kalau anda tidak mahu dibawa ke balai (polis), jangan pecah masuk,” kongsinya.
Seorang wanita lingkungan 40-an baru-baru ditangkap kerana memecah masuk kediaman bintang terkenal itu di Seoul.
“Saya melihat semuanya menerusi CCTV. Saya nampak wanita itu cuba meloloskan diri melalui pintu tempat letak kenderaan sebaik sahaja polis tiba di rumah saya. Namun cubaannya gagal.
“Dia memaklumkan kepada polis yang dirinya keluarga saya. Memanglah peminat ibarat keluarga saya, tapi apa yang dilakukan wanita ini agak keterlaluan,” katanya.
Untuk rekod, dua kes pecah masuk rumah Jungkook direkodkan tahun ini dengan yang pertama berlaku pada Jun membabitkan seorang wanita berketurunan Cina.