SARA RM100 bukan penyelesaian tunggal - PM

SARA RM100 bukan penyelesaian tunggal – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri kepada individu berusia 18 tahun ke atas bukanlah penyelesaian tunggal, sebaliknya antara langkah tambahan kerajaan untuk membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan yang disalurkan pada 31 Ogos lalu adalah pelengkap kepada program MySARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada.

“Kita bercakap soal SARA, memang ada yang mencemuh kata RM100 nak buat apa. Tetapi mereka lupa, SARA ini tambahan daripada MySARA dan tambahan daripada STR.

“Jumlah yang kita salurkan kepada rakyat sudah mencecah sembilan juta orang. Bila saya berbincang dengan pemimpin luar, terutama di ASEAN, mereka tanya, dengan penduduk 34 juta, kita belanja RM15 bilion untuk bantu sembilan juta orang. Ramai kata mereka sendiri tidak mampu lakukan perkara sebegitu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ucapan itu disampaikan beliau pada majlis penutup Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, Kedah semalam.

Menurut Anwar, pelaksanaan SARA juga menjadi rujukan kepada pemimpin negara luar yang mengakui dasar sedemikian sukar untuk dilaksanakan, namun memberi impak besar kepada rakyat.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan selepas tujuh hari pelaksanaannya, SARA berjalan lancar dengan jumlah jualan mencecah RM100 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat 10.30 malam semalam dengan kadar transaksi berjaya 99.9 peratus.

Pengagihan SARA sekali beri yang diumumkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion.

Dengan itu, jumlah keseluruhan peruntukan bagi STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×