Sanum, Cherry jadi tumpuan di Kelantan - Utusan Malaysia

Sanum, Cherry jadi tumpuan di Kelantan

RAKYAT berarak dengan diiringi Sanum dan Cherry di tengah-tengah bandar Kota Bharu bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelibat dua ekor gajah iaitu Sanum dan Cherry mencuri tumpuan apabila menerima sorakan gemuruh orang ramai yang menyaksikan perarakan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri di sini, semalam.

Perarakan sejauh 1.2 kilometer bermula dari Masjid Jamek Muhammadi ke Istana Balai Besar itu turut melibatkan enam orang mahut gajah.

Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamad Safaruddin Ismail berkata, perarakan itu diadakan semula selepas mendapat respons orang ramai yang tidak berkesempatan melihat kelibat haiwan berkenaan semasa Festival Tekatil dan Warisan Kelantan pada 3 September lalu.

“Rata-rata rakyat memberikan maklum balas positif dan meminta kami mengadakan lagi program seumpama ini pada hari cuti supaya dapat mengga­lakkan lebih ramai orang datang menyaksikan perarakan bergajah.

“Jadi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kelantan bersetuju meng­anjurkannya sekali lagi pada pagi ini (semalam) bersempena menyambut Hari Malaysia,” katanya.

Mohamad Safaruddin berkata, perarakan bergajah kali pertama sempena Hari Malaysia turut melibatkan 13 anggota polis untuk kawalan keselamatan serta 20 pengawal istana dan sebilangan peserta berbusana Melayu tradisional.

Katanya, lebih menarik apabila rakyat yang hadir menyaksikan perarakan turut melibatkan diri secara spontan dalam perarakan sehingga tiba ke pekarangan istana.

“Kita mendapat kerjasama penuh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang telah meluluskan permohonan Istana Kelantan untuk meminjam kedua-dua ekor gajah bagi menjayakan perarakan ini.

“Pihak kami juga tidak perlu menanggung apa-apa kos pengurusan gajah kerana semuanya atas ihsan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN