KUALA LUMPUR: Kumpulan terkenal Indonesia, Samsons bakal mengubat rindu peminat menerusi konsert Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah pada 9 November ini di Idea Live Arena.
Samsons, menerusi konsert tersebut, bakal menampilkan kelainan dengan menggabungkan lime elemen iaitu tanah, Udara, air, logam, api yang digabungkan dengan elemen kasih sayang yang melambangkan album baharu mereka nanti.
Menurut vokalisnya, Adrian Martadinata, setiap elemen melambangkan simbolik cinta yang dipersembahkan dalam bentuk positif, berbeza daripada lagu-lagu terdahulu yang lebih banyak berkisar tentang patah hati.
“Dalam album baharu ini, ada sebuah karya istimewa yang belum pernah Samsons hasilkan iaitu lagu tentang kesucian perkahwinan,” ujar Adrian dalam sidang media hari ini.
Album keenam Samsons kini dalam proses akhir ‘mixing dan mastering’ dengan enam lagu baharu termasuk Rasa Yang Salah, Rayu, Kecanduan dan Tari.
Menariknya, single utama album itu nanti bakal dipersembahkan di Malaysia, sebelum di Indonesia.
Samsons dalam pada itu mengakui peminat di Malaysia mempunyai semangat luar biasa.
Malah, mereka terbuka untuk berkolaborasi dengan artis tempatan pada masa akan datang.
Pembelian tiket konsert Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah boleh dibuat menerusi www.ticket2u.com.my. – UTUSAN