Sama-sama rela, pelaku dan mangsa bawah umur perlu pemulihan - Utusan Malaysia

Sama-sama rela, pelaku dan mangsa bawah umur perlu pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI senario kes benar – S, kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun. Dia tinggal bersama nenek dan datuknya di bandar kecil. Satu malam, S menghantar mesej melalui aplikasi media sosial pada teman lelakinya supaya datang mengambilnya lebih kurang pukul 2 pagi.

Maka teman lelakinya, K dan empat lagi rakannya datang menunggang motosikal dan membawanya ke rumah salah seorang daripada mereka kerana semasa itu ibu bapa lelaki itu, tiada di rumah. Teman lelaki dan rakan-rakannya hanya berumur 16 tahun.

Di rumah itu, mereka bergilir-gilir melakukan hubungan seks bersama S. Datang pula seorang kawan K, yang bernama M berumur 19 tahun dan S mula berminat pada M. Maka M dan S masuk ke kamar di rumah itu melakukan hubungan seks atas permintaan S sendiri.

Bila nenek dan datuk menyedari yang S keluar rumah dan tidak balik, maka mereka mencari S. S kemudian disoal oleh bapa saudaranya dan menyatakan dia dirogol oleh enam lelaki. Dan laporan polis dibuat. Enam lelaki tadi ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol mangsa di bawah umur.

Akhirnya kesemua lelaki ini dihukum, ada dihantar ke Henry Gurney dan ada dipenjarakan kerana melebihi umur 16 tahun manakala tiada apa-apa tindakan diambil terhadap mangsa.

Baru-baru ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, wajar dipertimbangkan hukuman terhadap mangsa rogol juga kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol di bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela,” katanya.

Kenyataan beliau itu, ada kebenarannya dan daripada segi praktikalnya memang ia berlaku.

Penulisan ini adalah merujuk khasnya kepada kes-kes yang melibatkan mangsa di bawah umur atau pun dikategorikan sebagai kanak-kanak kerana terlalu banyak kes melibatkan kanak-kanak melakukan hubungan seks dengan temannya tanpa paksaan.

Kita haruslah menerima hakikat bahawa kanak-kanak sekarang bukanlah seperti kanak-kanak 20 atau 30 tahun tahun lalu kerana mereka terdedah dengan media sosial yang tiada hadnya yang boleh dilayari dengan mudah dalam telefon pintar.

Undang-undang hendaklah seimbang dan adil, bukan sahaja menghukum tertuduh dalam kes seperti ini. Undang-undang perlu juga seimbang mengelakkan daripada kanak-kanak di bawah umur memerangkap mangsa dalam kes seksual seolah-olah mereka ini tiada menyumbang kepada kejadian.

Pelaku yang bawah umur juga perlu mendapat keadilan. Kita juga harus memperakui pelaku di bawah umur ini masih di awal usia dan masih panjang perjalanan hidupnya serta banyak masa untuk berubah dan dipulihkan.

Di dalam kes Tukiran Taib lawan PP – Bellamy J dalam kes Tukiran Taib v. Public Prosecutor (supra) tersebut yang dibuat dalam tahun 1955 telah menjadi prinsip panduan bagi mahkamah melaksanakan budi bicaranya bila menilai hukuman yang sesuai untuk pesalah remaja dan di dalam penghakiman kes ini menyatakan seboleh-bolehnya yang berumur 17-21 sebagai pesalah muda tidak dikenakan hukuman penjara.

Prinsip kes ini masih terpakai hingga sekarang. Kanak-kanak yang menjadi mangsa selalunya tidak diambil tindakan. Dalam banyak kes seksual, mangsa hidup agak bebas dan tidak terkawal dan tidak mendapat pengawasan ibu bapa yang baik sebagaimana senario ditulis di atas.

Bagi mangsa pula, jika dia seorang kanak-kanak yang susah dikawal oleh ibu bapanya maka di bawah Seksyen 46 dan Seksyen 47 Akta Kanak kanak menyatakan seperti berikut:

Kanak-kanak yang tidak terkawal
46. (1) Jika ibu bapa atau penjaga seseorang kanak-kanak membuat permintaan bertulis kepada Mahkamah Bagi Kanak- Kanak supaya menahan kanak-kanak itu di sekolah, tempat perlindungan, asrama akhlak atau pusat atas alasan tidak dapat menjalankan kawalan sepatutnya ke atas kanak-kanak itu, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah serta-merta menyiasat keadaan kanak-kanak itu.

Mahkamah perlu mengarahkan pegawai akhlak mengemukakan suatu laporan akhlak kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu untuk menentukan sama ada suatu perintah di bawah subseksyen (2) boleh dibuat; dan boleh meluluskan kanak-kanak itu ditahan buat sementara di suatu sekolah, tempat perlindungan, asrama akhlak atau pusat jika difikirkan perlu untuk berbuat demikian.
Secara ringkasnya, ibu bapa boleh membuat permohonan agar anak mereka yang tidak terkawal mendapat perintah dari Mahkamah Bagi Kanak-kanak ditempatkan di institusi yang diluluskan.

Pengawasan oleh pegawai akhlak
(1) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat suatu perintah meletakkan seseorang kanak-kanak di bawah pengawasan seorang pegawai akhlak, pegawai atau orang lain itu—
 Hendaklah selagi perintah itu masih berkuatkuasa,melawat, menasihati dan bertindak sebagai kawan kepada kanak- kanak itu; dan
 Boleh, jika pada hematnya perlu berbuat demikian, pada bila-bila masa selagi perintah itu masih berkuatkuasa, membawa kanak-kanak itu ke hadapan Mahkamah Pengawas.
Di bawah peruntukan ini juga membolehkan Mahkamah Kanak-Kanak meletakkan kanak-kanak di dalam pemeliharaan saudara atau mana-mana pihak yang layak bagi jangka masa tertentu.

Keadaan ini sesuai bagi mangsa kes seksual yang mana fakta-faktanya tidak menurut kata-kata dan nasihat ibu bapa serta sukar dikawal sehingga terjerumus di dalam aktiviti tidak sihat. Seksyen 17 Akta Kanak-kanak juga memberikan pengertian tentang pemeliharaan dan perlindungan dan meletakkan tanggungjawab terhadap ibu bapa atau penjaga antaranya di bawah Seksyen 17(c)

Pengertian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan

17 (1) Seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan jik ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu tidak layak, atau telah abai, atau tiada upaya untuk menjalankan pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya ke atas kanak-kanak itu dan kanak-kanak itu mula terlibat dalam pergaulan yang tidak sihat; jika dalam keadaan ini timbul maka ibu bapa atau penjaga boleh juga dihukum di bawah Seksyen 31 akta sama.

Membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan dan perlindungan serta bebas bergaul tanpa had juga adalah pengabaian oleh ibu bapa serta penjaga.

Adalah wajar kanak-kanak diberikan pengawasan dan perlindungan. Beban bukan sahaja diletakkan kepada kanak-kanak tetapi hendaklah juga ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.

Kaedah undang-undang sebegini sedikit sebanyak dapat membantu dalam konteks kes seksual agar kawalan dan pencegahan dapat dibuat pada mangsa kanak-kanak yang terlibat di dalam kes seksual suka sama suka.

Undang-undang sebegini seharusnya diberikan pencerahan kepada kepada orang ramai agar mereka celik undang-undang berkaitan tanggungjawab masing-masing dan tidak selalu menyalahkan pelaku apabila kejadian tidak diingini ini berlaku.

Perlu juga diingatkan tujuan undang-undang ini bukanlah untuk menghukum kerana menghukum kanak-kanak bukanlah satu faktor dalam memulihkan moral mereka tetapi ini lebih kepada ke arah pemulihan untuk menjadi insan yang baik di masa hadapan.

DATUK SYED AZIMAL AMIR SYED ABU BAKAR ialah seorang pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN