PUTRAJAYA: Sebanyak sembilan cadangan dasar akan dipertimbangkan bagi merangka Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 kelak.
Ia merangkumi aspek pencegahan, pelaporan, mekanisme aduan dan bidang kuasa tribunal bagi memastikan undang-undang itu lebih komprehensif dan berkesan.
Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Thiyagu Ganesan berkata, cadangan dasar lain termasuk definisi dan skop pemakaian, prosedur mesra kanak-kanak, kuasa dan remedi tribunal, tadbir urus dan kepimpinan serta penempatan institusi tribunal dan perkara berkaitan akta berkenaan.
“Bagi definisi dan skop pemakaian, RUU Antibuli mentakrifkan buli secara meluas antaranya merangkumi fizikal, lisan, sosial, psikologi, digital, intimidasi, gangguan, ugutan dan menghendap.
“Buat masa ini, cadangan yang dikemukakan ialah perlindungan diberi kepada kanak-kanak bawah usia 18 tahun, manakala pelaku boleh dari mana-mana umur dengan prinsip panduan iaitu memberi keutamaan kepada kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya ketika membuat pembentangan pada Sesi Towhall Antibuli di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi cadangan membabitkan bidang kuasa tribunal pula, Thiyagu berkata, bidang kuasa tribunal itu hanya untuk kes buli yang bukan membabitkan jenayah berat.
Katanya, tribunal itu dicadang boleh memberi remedi sokongan termasuk perlindungan, kaunseling dan pampasan berasaskan standard bukti ‘balance of probabilities’.
“Prosiding (tibunal) pula adalah tertutup dan tribunal boleh guna langkah mesra kanak-kanak termasuk melalui pautan video atau skrin perlindungan.
“Manakala bagi kuasa dan remedi tribunal, bagi individu ia membabitkan perintah perlindungan, kaunseling, rehab untuk pelaku kanak-kanak serta pampasan dan ‘award’ boleh dikuat kuasa seolah-olah perintah mahkamah,” katanya. – UTUSAN