PUTRAJAYA: Sebarang rundingan berhubung operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru perlu dibuat antara penduduk dengan pihak pemaju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, operasi pengosongan yang dilaksanakan sudah ditetapkan oleh mahkamah, bukannya diputuskan oleh kerajaan.
“Kalau mereka persatuan penduduk nak berbincang tentang untuk tidak melaksanakan pengosongan, saya rasa kita kena kembali kepada prosesnya lah iaitu proses mahkamah.
“Itu bukan keputusan kerajaan tapi keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Kita pihak berkuasa tempatan (PBT) permudah dari sudut pembinaan, pembangunan dan sebagainya. Tapi kalau ada apa-apa lagi saya rasa penduduk itu kena berbincang dengan pihak pemaju sebab tanah tersebut sudah menjadi pemilikan pemaju,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Menara Sri Wilayah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan jawatankuasa hak penduduk kampung berkenaan yang menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan dan menuntut supaya operasi pengosongan di kawasan itu dihentikan buat sementara waktu.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, isu Kampung Sungai Baru sebenarnya sudah berlarutan hampir sembilan tahun dan kini ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikannya.
“Tapi disebabkan oleh beberapa masalah projek ini tergendala dan tertangguh lama. Saya difahamkan mereka yang telah bersetuju untuk berpindah tinggal di PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan ada di rumah di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).
“Sewaan itu ditanggung oleh pihak pemaju sehingga ke hari ini dan sehingga lah rumah mereka siap dibina. Cumanya perkara yang kita kesalkan ialah disebabkan mereka ini tunggu begitu lama sekali, ada antara mereka yang telah pun meninggal dunia jadi yang tinggal sekarang ialah waris. Itu yang kita bersungguh-sungguh mahu membantu mereka, sebab saya kira hak mereka perlu dikembalikan,” katanya. – UTUSAN