SETIU: Rumah kayu yang dihiasi ribuan botol kaca di sini milik Tengku Mohd. Ali Tengku Mansor atau lebih mesra dipanggil Ayahku, kembali ceria selepas diberi wajah baharu oleh pelajar Universiti Management & Science (MSU) Kampus Kota Bharu, baru-baru ini.
Struktur terkenal sebagai tarikan pelancongan di Kampung Penarik itu kini tampil berwarna-warni selepas disapu cat baharu sekali gus mengembalikan seri rumah saban hari menjadi tumpuan pengunjung.
Kerja mengecat semula itu menggunakan empat warna utama iaitu hijau, merah, kuning dan biru bagi menyerikan semula bahagian dinding serta hiasan botol kaca tersusun di sekeliling rumah.
Jika sebelum ini sebahagian cat mulai pudar, kini botol kaca yang tersusun kemas tampak lebih bersinar di bawah cahaya matahari menjadikan rumah kayu itu ibarat sebuah karya seni yang hidup kembali.
Tengku Mohd. Ali, 81, berkata, walaupun rumah itu tidak pernah putus dikunjungi orang ramai, sentuhan pelajar berkenaan memberi makna lebih besar kerana ia menghidupkan kembali semangatnya menjaga kediaman unik itu.
“Ramai orang singgah bergambar, ada yang datang dari jauh semata-mata nak tengok sendiri rumah ini.
“Tapi bila pelajar sanggup datang beramai-ramai, cat semula sampai lewat petang, saya rasa rumah ini benar-benar dihargai.
“Bila tengok warnanya jadi terang balik, saya sendiri rasa macam semangat saya pun hidup semula. Dulu nampak lusuh, sekarang bila orang datang singgah pun hati saya rasa lebih bangga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, kehadiran pelajar MSU itu juga seakan-akan membawa 1,001 senyuman, bukan sahaja kepada pemilik rumah malah kepada penduduk setempat melihat suasana gotong-royong meriah di halaman rumah ikonik tersebut.
Pelajar Diploma Reka Bentuk Grafik MSU, Nik Harris Danial Nik Mohd Yusoff, 20, berkata. mereka mahu menjadikan rumah botol itu terus kekal sebagai ikon pelancongan Setiu dengan wajah yang lebih menarik.
“Walaupun seharian berpanas dari pagi hingga petang, rasa penat terus hilang bila melihat hasilnya begitu memuaskan,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Nur Syafiqah Athirah Mohd Syafizal, 21, berkata, pengalaman tersebut memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga warisan komuniti.-UTUSAN










