GEORGE TOWN : Seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Air Itam di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.06 malam itu, mangsa yang berusia 14 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai bawah bangunan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pemeriksaan awal oleh Pasukan Siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bersama Unit Forensik IPK Pulau Pinang mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) dan proses bedah siasat dijangka dijalankan hari ini juga bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya yang turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan polis.-UTUSAN