Rakyat Thailand tetap beli petrol di Malaysia

Rakyat Thailand tetap beli petrol di Malaysia

PENDUDUK Thailand membuat pengisian petrol di stesen minyak tanpa subsidi dalam tinjauan di Padang Besar, Perlis, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Harga petrol RON97 di Malaysia yang jauh lebih murah berbanding Thailand, menyebabkan rakyat negara itu masuk ke negeri ini untuk mendapatkan bahan api tersebut.

Ketika ini, harga petrol tanpa subsidi di sini ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter, jauh lebih rendah berbanding Thailand iaitu sekitar 40.94 baht atau RM5.35 seliter bagi jenis Benzine 95, gred sama dengan RON95 di Malaysia. Harga RON97 pula ialah RM3.21 seliter, manakala RON95 yang masih bersubsidi kekal pada RM2.05 seliter.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan Thailand memasuki sempadan negara membuat pengisian petrol se­perti biasa di stesen minyak tanpa subsidi sekitar Padang Besar di sini.

Warga Thailand, Somchai Anan, 43, berkata, kawalan subsidi petrol kerajaan Malaysia selepas ini tidak begitu membebankan kerana kadarnya masih rendah berbanding negaranya.

“Ramai rakyat Thailand masih mengisi minyak di Padang Besar dan rakyat Malaysia bertuah kerana menikmati harga lebih rendah dan mendapat subsidi,” katanya.

Mulai hari ini, rakyat Malaysia bakal menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95), manakala warga asing RM2.60 seliter.

Bagaimanapun, Selasa lalu, kerajaan menegaskan larangan kenderaan nombor pendaftaran asing membeli petrol RON95 masih kekal, walaupun bahan api itu diapungkan untuk golongan bukan layak bagi subsidi itu.

Kenderaan berdaftar asing dari Thailand, Indonesia atau Singapura tidak dibenarkan membeli RON95. Mereka hanya boleh beli RON97 sepertimana ketetapan peraturan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan semua warganegara yang memiliki lesen memandu aktif layak menikmati manfaat tersebut.

Ketika ini, rakyat Malaysia serta warga asing bermastautin dengan nombor pendaftaran tempatan menikmati harga RON95 bersubsidi pada kadar sama iaitu RM2.05 seliter.

Penduduk tempatan, Muhammad Amri Mohd. Abdullah, 39, berkata, Budi95 langkah tepat mengekang ketirisan subsidi.

“Saya sokong usaha ini kerana subsidi sepatutnya hanya untuk rakyat, bukan warga asing. Dengan kawalan lebih baik, aktiviti penyeludupan petrol dapat dibanteras,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN