PASIR SALAK: Penduduk di kawasan yang jauh dari pekan atau stesen minyak seperti di Seberang Perak di sini mungkin tidak dapat dinikmati sepenuhnya pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95).
Ini kerana tiada kemudahan stesen minyak terdekat selain penduduk sudah biasa membeli minyak dalam botol yang dipam secara manual sejak dahulu lagi.
Kaedah itu menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat setempat yang tinggal jauh dari bandar terdekat seperti pekan Kampung Gajah atau bandar Teluk Intan.
Masyarakat di kawasan sekitar seperti Sungai Jejawi, Sungai Durian, Sungai Buaya dan Sungai Timah terus bergantung kepada kaedah tradisional itu.
Menurut pemilik kedai minyak yang menjual minyak dalam botol yang enggan dikenali, perniagaan itu telah diusahakan keluarganya sejak berpuluh tahun lalu dan masih beroperasi menggunakan pam tangan serta botol sebagai sukatan.
“Saya sudah lebih 30 tahun menjual minyak menggunakan cara ini. Bukan saya tidak mahu menggunakan sistem moden, tapi saya tak tahu macam mana. Lagipun, di sini semua masih selesa guna cara lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya, walaupun kerajaan kini memperkenalkan inisiatif BUDI95, dia tidak dapat menyertai program berkenaan kerana tiada kelengkapan seperti mesin pengimbas atau peralatan digital untuk merekod transaksi.
“Pelanggan tetap datang beli macam biasa, guna botol dan membayar tunai. Di sini tiada mesin, tiada aplikasi, semua manual kami masih dapat bantu orang kampung,” ujarnya.
Seorang pelanggan, Herman Hasbullah, 47, dari Seberang Perak berkata, kaedah membeli petrol secara tradisional itu lebih mudah dan praktikal bagi penduduk yang tinggal jauh dari stesen minyak.
“Kalau nak ke stesen minyak pun jauh, kena keluar belanja lebih. Guna minyak botol macam ini senang, bayar tunai saja. Saya percaya ramai penduduk di sini tidak tahu macam mana hendak memohon atau guna BUDI95.
“Bagi kami, asalkan boleh isi minyak dan kerja jalan, itu sudah cukup. Cara lama yang kami amalkan tidak menyusahkan,” tambahnya. – UTUSAN











