Pulau Pinang semak cukai tanah, kampung tradisi dibimbangi terkesan

Pulau Pinang semak cukai tanah, kampung tradisi dibimbangi terkesan

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pewartaan kawasan bandar baharu dan semakan kadar cukai tanah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang selepas lebih 30 tahun menimbulkan kebimbangan terhadap beban rakyat, khususnya penduduk kampung tradisi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah tersebut menyebabkan lot kediaman kampung yang sebelum ini dikenakan kadar cukai sebanyak 22 sen bagi setiap meter persegi kini ditaksir semula sebagai lot kediaman bandar dengan kadar 70 sen bagi setiap meter persegi.

“Kenaikan yang mencecah lebih 100 peratus itu dijangka memberi kesan langsung kepada pemilik tanah berpendapatan rendah serta warga emas yang mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang akan melaksanakan semakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri.

Kon Yeow berkata, pewartaan kadar baharu itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 September lalu dan kadar baharu itu telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 2024 dan hanya akan disemak semula setiap 10 tahun sekali.

Menurut Reezal Merican, kerajaan negeri wajar meneliti pendekatan lebih mesra rakyat agar pewartaan dan kadar baharu tidak menimbulkan tekanan berlebihan kepada golongan marhaen.

“Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pemberian rebat khas secara berperingkat, khususnya kepada pemilik tanah kampung tradisi dan golongan B40.

“Selain itu, kerajaan negeri juga disaran untuk mengadakan libat urus bersama wakil kampung tradisi serta pertubuhan penduduk sebelum kadar baharu itu dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, dialog secara terus penting untuk merungkai kekeliruan rakyat terhadap kadar baharu, malah simulasi cukai wajar diperkenalkan supaya penduduk boleh membuat semakan lebih awal.

Reezal Merican juga menegaskan perlunya penilaian semula terhadap garis sempadan kawasan bandar baharu agar kampung tradisi dan kawasan luar bandar tidak dimasukkan secara automatik tanpa mengambil kira taraf sosioekonomi dan kemudahan sedia ada.

Menurutnya, kadar cukai sepatutnya disesuaikan berdasarkan status pembangunan sebenar, bukan semata-mata berpandukan pewartaan kawasan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×