BUTTERWORTH : Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan disambut di Pulau Pinang esok dijangka meriah dengan pelbagai persembahan serta acara yang menarik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini, segala persiapan yang telah diatur berjalan dengan lancar dan tersusun.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) berkata, setakat ini juga, pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang sedang berjalan.
“Saya percaya pada malam 16 September (esok), kita akan ada satu persembahan yang terbaik. Insya-Allah, kita jangkakan ramai yang akan hadir dan banyak reruai, kaunter perkhidmatan, Jualan Rahmah dan sebagainya menanti pengunjung sejak awal pagi,” kata beliau kepada pemberita, malam tadi.
Terdahulu, Fahmi meluangkan masa meninjau raptai penuh Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini dengan ditemani Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Sambutan bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni itu dijadual disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira pukul 8.30 malam.
Acara berkenaan juga dijangka dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selain beberapa kenamaan lain.
Difahamkan, antara bentuk persembahan yang telah dirancang termasuk berkaitan keunikan kepelbagaian budaya di Pulau Pinang selain persembahan artis popular daripada pelbagai latar belakang termasuk Ratu Rock negara iaitu Ella, Suki Low, Roshini Balachandran serta beberapa artis yang diterbangkan khas dari Sabah dan Sarawak untuk sambutan berkenaan.-UTUSAN