BAGAN SERAI: Selepas lebih dua bulan tidak beroperasi kerana berdepan penyusutan air di Tasik Bukit Merah, Pulau Orang Utan (OUI) yang terletak di tengah tasik tersebut kini kembali menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara.
Tinjauan Utusan Malaysia di tasik itu mendapati paras bacaan air semasa sedalam 7.32 meter (24 kaki) dan memerlukan sebanyak 1.21 meter lagi bagi mencapai paras normal.
Menurut ejen pelancongan, Eng Choon Wooi, 47, penutupan pulau itu sejak dua bulan lalu akibat penyusutan air tasik memberi kesan besar kepada pengusaha dan pemandu pelancong.
Malah ada pelancong dari luar negara, khususnya Australia, yang kecewa apabila tidak berpeluang melawat habitat Orang Utan di pulau tersebut.
“Dua bulan lalu, apabila Pulau Orang Utan ditutup, memang ramai pelancong rasa kecewa. Ada yang datang dari Australia, siap buat tempahan awal, tetapi bila sampai sini tidak dapat masuk ke pulau namun mereka berjanji akan kembali lagi tahun depan,” katanya bercakap kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pulau itu semalam.
Tambahnya, kehadiran pelancong asing amat penting kerana ia menjadi nadi kepada kelangsungan operasi pulau itu yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan tiket.
“Pelancong Barat sangat menghargai pengalaman di sini. Mereka bukan sahaja datang melawat, tetapi sentiasa memberikan komen positif. Ada yang kata mereka ‘enjoy’, ada yang tersenyum puas sepanjang lawatan,” katanya.
Bagi menarik kembali perhatian pelancong, Choon Wooi berkata, pihaknya kini giat mempromosi Pulau Orang Utan melalui platform dalam talian selain menawarkan harga lebih rendah sebagai galakan.
“Selepas operasi dibuka semula, dalam tempoh sebulan sahaja saya boleh bawa pelancong lebih 20 kali. Sebelum ini, apabila tutup dua bulan, memang terasa sangat kesannya. Jadi sekarang usaha promosi perlu digandakan,” katanya.
Ditanya mengenai pasaran utama pelancongan, beliau berkata, pelancong dari Eropah dan Amerika Syarikat merupakan kumpulan paling ramai memilih untuk melawat Pulau Orang Utan.
“‘Orang putih’ apabila datang memang teruja. Mereka seronok melihat Orang Utan kerana di negara mereka tiada mamalia seperti ini. Kalau pelancong Asia Tenggara, ada yang rasa biasa saja tapi bagi orang Barat, mereka hargai pengalaman ini dengan wajah penuh senyuman,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Yayasan Pulau Orang Utan, Nurhafizi Mohamad Hapiszudin, 39, berkata, penutupan operasi pada dua bulan lalu berikutan air tasik surut paling mencabar pernah dilalui selepas fenomena El Nino 2016. – UTUSAN










