PRU serentak: SPR miliki kuasa penuh, ambil kira pandangan semua pihak - Utusan Malaysia

PRU serentak: SPR miliki kuasa penuh, ambil kira pandangan semua pihak

SAARANI Mohamad (tengah) merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 dan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa penuh dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sama ada ia boleh diadakan serentak di semua negeri atau dilaksanakan secara berasingan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan mahupun pandangan yang dikemukakan mana-mana pihak termasuk parti politik merupakan sebahagian daripada proses semak dan timbang oleh SPR sebelum keputusan muktamad dibuat.

Malah katanya, dalam menentukan tarikh itu, SPR juga akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk isu perbelanjaan dan tempoh masa yang sesuai seperti mengelak musim banjir.

“Kita semua faham, tugas mengurus dan mengendalikan pilihan raya adalah tugas SPR tetapi kebiasaannya mereka akan mengambil kira pandangan dan pendapat daripada parti-parti politik juga.

“Sudah tentu ia akan mengambil kira banyak perkara termasuk perbelanjaan besar selain keadaan semasa. Janganlah pilihan raya dibuat pada musim banjir dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 dan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat negeri di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, PRU-16 wajar diadakan serentak di semua negeri di Semenanjung bagi menjimatkan kos dan menyelaraskan tempoh penggal.

Menurut Anthony yang juga Menteri Pengangkutan, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai hak dan kuasa membubarkan dewan masing-masing, kerajaan negeri seharusnya berbincang dengan kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, bagi membolehkan PRU-16 diadakan serentak.

Mengulas lanjut Saarani berkata, syor yang dikemukakan oleh Anthony itu merupakan pandangan peribadi beliau sebagai pemimpin parti.

“Apa yang disebut oleh Anthony adalah pendapat dia selaku Setiausaha Agung DAP, jadi saya tidak boleh komen kerana saya berpendirian, sesiapa yang beri pandangan, SPR juga yang akhirnya akan membuat keputusan.

“Parti-parti politik lain juga barangkali akan memberi pandangan masing-masing dan bagi pihak UMNO, kenyataan akan dibuat oleh presiden parti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN